Friday, February 1, 2019

 PERGINYA BONDA BUAT SELAMANYA

Siapa tak sayang mak?  Semua anak menyayangi emaknya  cepat atau lambat lama kelamaan perasaan itu datang dan mengakui emak  adalah orang yang tak boleh diganti oleh sesiapa jua pun.  Tanggal 27 hb Jan 2019, tepat pukul 1.30 pagi emak pergi buat selamanya dengan wajah yang tersenyum.  Angin diluar rumah mak berhembus dan mendinginkan suasana pagi itu, tangisan kami mendayu sehembus angin yang bertiup lembut.

Aku seakan tak percaya mak pergi buat kali terakhir.  Aku seakan tak percaya mak dah tak ada. Aku tatap wajah mak...mak macam tidur.  Mak tidurkan. Tapi aku kena sedar yang mak memang dah tiada.  Adik beradikku semuanya dah duduk keliling mak baca Yassin.  Badan mak sejuk, wajah mak tersenyum dan berseri.

Hari kian siang.  Ramai jiran dan sedara mara mula membanjiri rumah mak, ziarah mak.  Perasaan ku ketika itu hilang arah.  Aku termenung seketika, flash back adakah selama ini aku selalu melayani mak.  Ya, aku melayani mak sebagai Ratu.  Kalau aku datang selalu aku tanya mak nak makan apa dan belikan apa yang mak nak.  Mak suka buah-buahan, terutama pisang dan anggur. Aku pula akan beli mak buah yang mahal2 utk mak.   Aku akan penuhi segala permintaan mak.  Aku selalu dtg ke rumah mak dan layan mak tengok tv dan berbual mesra.  Mak selalu tonton hasil karya aku di tv.  Mak selalu doakan untuk aku sebab aku selalu minta mak doakan untuk aku, kerana aku tahu doa mak selalu diijab oleh Allah. Doa mak Allah makbulkan segera.
Aku tersenyum lagi sebab dua minggu sebelum ini aku pernah tanya mak..

Aku:"mak kenapa muka mak lain?"
Mak :Lain macam mana?
Aku: Muka mak nampak putih bersih dan berseri...mak pakai apa?
Mak: Tak pakai apa-apa pun.

Itu yang aku ingat wajah mak dah mula lain.  Mak gembira sejak kebelakangan ini.  Mak nak tengok cucu dia (yakni anak aku yg kerja di luar negara) Mak kata dia rindu dengan Sufi.   Bila Sufi pulang bercuti aku bawa Sufi jumpa neneknya.  Neneknya peluk dan Sufi cium neneknya.  Aku masih ingat lagi dialog mak dengan Sufi.

Mak: Fi...nenek nak makan kerabu mangga ...boleh buatkan untuk nenek tak?
Sufi: Boleh...nanti Sufi buat untuk nenek .
Mak: Kalau tak boleh buat...bagi je nenek resipi biar nenek buat.
Sufi: (KETAWA) Bagi nenek resipi pun bukan nenek boleh buat...

Anak ku seorang Chef selalu masakan untuk neneknya dan sempatlah Sufi dpt masakkan bubur nasi berlauk 7 jenis lauk bersama kerabu mangga yang dia nak.

Sepatutnya Sufi  pulang semula ke HK 25/1/ 2019 tapi dpt call dari majikannya yang tarikh itu dipostponed pada 1/2/2019.  Tak sangka...aturan Allah itu indah.  Sufi dapat melihat neneknya buat kali terakhir dan menjalankan tanggungjawabnya buat kali terakhir.

Cepat benar masa berlalu dah seminggu mak pergi, tapi aku rasa macam semlm mak tinggalkan kami.
Mak terima kasih melahirkan aku, membesarkan aku dan melayan segala kerenah aku.   Terima kasih Allah memberikan aku kesempatan melayan mak macam Ratu, terima kasih Allah kerana berikan perasaan kasih sayang mendalam pada  mak.  Terima kasih Ya Allah kerana berikan aku kesempatan memandikan mak dan anakku menguruskan jenazah neneknya sekali.  Terima kasih Ya Allah aturan Mu itu memang indah. Alfatihah untuk mak Patimah Esmail


Wednesday, June 7, 2017

TERBARU!! Cerita Seram MASTIKA 2017 - SEKSAAN KUBUR ITU TERLALU PEDIH

Thursday, November 21, 2013

BERCERITA TENTANG BERSALIN

Saya terdengar di televisyen TV9 Semanis Kurma yang kali ini membincangkan topik Aurat Ketika Bersalin. Saya tersenyum mendengarnya. Tapi cerita saya bukan mengenai aurat tetapi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh setiap ibu.  Teringat pula 24 tahun yang lalu ketika saya bergelut untuk melahirkan putera tunggal saya,  Ketika itu usia saya baru 23 masih muda dan tidak bekerja pula.  Namun masa yang lapang itu tidak dibiar berlalu begitu saja.  Saya pelajari segala teknik pernafasan, teknik pergerakkan, senaman memudahkan bersalin dan juga aktif membuat kerja.  Bayi dalam kandung tidak banyak ragam. Saya juga mengaji Al-Quran, membaca Surah Yussuf, Surah Maryam dan beberapa surah lagi untuk bayi saya.  Sebelum tidur pula saya akan berzikir sambil mengusap perut.  Sungguh bayi didalam perut tidak meragam.   8 bulan terakhir, anak saya disahkan berada dalam kedudukan songsang, kaki ke bawah.  Mak cuba ajak saya berurut untuk membetulkan kedudukan bayi tetapi saya tdak berani mengambil risiko, saya tidak mahu menyakitkan baby  dan tidak mahu ada apa -apa yang berlaku padanya.  Saya terima dengan redha atas ketentuan Allah.

Tiba masa saya dikejarkan ke hospital.  Saya dihantar oleh mak dan ayah, ditemani adik 2tahun yang mulutnya becok ketika itu.  Suami ketika itu ada urusan lain, dan dia tidak tahu yang pada hari itu saya akan bersalin.   Mujurlah saya tidak mengikutnya kalau tidak bersalinlah saya atas jalan.  Pada waktu siang hari saya hanya memakan semangkuk kecil nasi dan sayur bayam kegemaran baby .  Saya diberitahu bahawa saya akan dibedah, tetapi pada malam itu tepat pukul 12 malam saya didatangi seorang doktor untuk bertanyakan tentang bius epidural,  Saya cakap saya sudah baca mengenainya dan saya setuju untuk menerimanya, dan dalam keadaan terketar-ketar itu saya menandatangani surat persetujuan itu.   Mereka pun memulakan operasi kecil untuk memasukan bius itu, tetapi saya sedikit pun tidak sedar.

Pada keesokan harinya saya demam kerana kesejukkan, baby pula berdenyut perlahan, seorang misi mula membebel keran membiarkan saya begitu lama untuk bersalin.  Saya tahu saya dijaga oleh seorang doktor lelaki berbangsa Cina.  Dia menjaga saya dengan baik sekali.  Saya menunggu masa saya untuk bersalin, tapi saya tahu pada hari itu terlalu ramai baby dilahirkan, sehingga mereka tidak cukup troly dan ada baby yang dah nak keluar dah.  Doktor pula berlari ke sana dan ke sini menyambut baby.  Sebelah katil saya pula menjerit kesakitan kerana dijahit.  Ohhhh saya pula yang ngilu.  Saya menunggu giliran saya tiba, dan tidak tahu apakah yang akan saya lalui.

Setelah saya tanya dengan doktor itu, barulah dia beritahu yang saya boleh lahir secara normal .  Mendengar kata doktor itu saya membuat keputusan untuk melahirkan segera anak saya ini sebelum dia terus lemas dalam kandungan saya, kerana air mentuban sudah lama pecah.  Melihat keadaan saya hendak bersalin , segera doktor datang menghampiri saya dan bilangan doktor  semakin ramai.  Sepanjang proses bersalin, saya tidak terhenti membaca alfatihah, ayat kursi, ayat 3 kul, selawat nabi dan saya gunakan teknik pernafasan dengan betul....mereka turut membantu saya membaca Alfatihah ketika saya hampir kepenatan.......Alhamdulillah tepat pukul 4 petang hari Jumaat lahirlah putera saya yang saya namakan MUHAMMAD SUFI....kehadirannya menyerikan hidup saya dan suami hingga kini.  Terima kasih ALLAH atas kurniaan Mu ini.




Monday, October 21, 2013

SLIP DISC...

Apa itu slip disc?  Slipped disc secara ringkas bermaksud tulang belakang yang “teralih” atau “mengelongsor dari kedudukan asal. Ini disebabkab oleh gel antara tulang yang berfungsi menyerap tekanan telah bocor seterusnya mengakibatkan alihan. Apabila ini terjadi, tulang akan menekan pula saraf-saraf yang mengawal anggota badan seperti kaki, tangan dan leher. Kesakitan melampau menyebabkan anggota badan menjadi kebas pergerakan akan terbatas.  Pertama kali mendengarnya bila adik saya dimasukkan wad kerana slip disc.  Tidak pernah tahu bagaimana menderitanya adik saya ketika itu . Namun setelah anak bujang saya terkena slip disc ini saya mula resah dan hati disaluti kebimbangan yang amat.  Setelah anak saya terkena , anak buah pula terkena juga penyakit ini.

Sejak akhir-akhir ini penyakit itu berada disekeliling saya.  Rata-rata saya mendengar ramai yang terkena.
Melihat penderitaan yang dilalui anak saya ianya membuatkan saya tidak senang tidur.  Kasihan dia, malam-malam mengadu tidak dapat tidur, kaki dan belakangnya terasa sakit dan kebas serta berdenyut.  Dalam mata yang terpejam saya mengurut belakangnya.  Namun urutan malas saya tidak mengurangkan sakitnya.
Akhirnya menjelang subuh barulah dia tertidur...itupun dalam keadaan duduk.  Kasihan sungguh saya melihat keaaannya ketika itu.

Namun dia tetap pergi ke kerjanya.  Kerja sebagai Chef menambahkan kesakitannya.  Ketika menjemput dia pulang, saya tertanya kenapa jalan dia bagaikan raksaksa, terbongkok dan kekang.  Dia menjawab dalam keadaan menahan sakit....sakit mama.  Malam itu juga dia tidak boleh tidur, sakitnya menjadi-jadi.  Pukul 2 pagi saya membawa dia ke hospital Kajang  bahagian kecemasan.  Hampir dua jam menunggu barulah dapat masuk berjumpa dengan doktor.  Setelah pemeriksaan dibuat doktor hanya mengatakan ini hanyalah muscle pain, tidak ada apa2 yang serius.  Anak saya diberikan ubat pain killer.  Namun ubat itu tidak melegakan.

Selang dua hari , sekali lagi kami ke hospital di waktu tengah malam bahagian kecemasan lagi.  Doktor tetap menyatakan hanya muscle pain, dan ubat yang sama juga dibekalkan dan juga MC kepada anak saya.
Anak saya tetap sakit.  Setelah habis mc dia pergi juga ke tempat kerjanya dalam keadaan yang amat sakit.
Sampai di tempat kerjanya dia diarah pulang oleh Chefnya yang tidak sanggup melihat keadaan dia yang terbongkok-bongkok dan sangat payah untuk berjalan.  Pada malam itu juga saya membawa dia ke Hospital Serdang bahagian kecemasan.  Dari pukul 11.40 mlm kami menunggu , pukul 4.30 pagi barulah kami dapat berjumpa dengan doktor, dan jawapan yang sama juga diberi muscle pain.  Mc dan ubat diberi, namun anak saya tetap sakit.

Selang dua hari, saya membawa dia ke Klinik Kesihatan Semenyih.  Doktor membuat X-RAY dan meminta anak saya berjumpa dengan pakar Ortopedik. Saya bertanyakan sebenarnya anak saya sakit apa....doktor itu tidak dapat memberi jawapan pasti, hanya dia menyuruh anak saya berjumpa dengan Pakar itu.
Sekali lagi Mc dan bekalan ubat dibawa pulang.  Saya kira hampir enam belas hari anak saya sudah mengambil mc.  Macam-macam rawatan yang dibuat, berurut, akupuntur namun tidak ada yang kurang pun. Duit pun banyak habis dengan rawatan.

Saya segera membuat temu janji dengan pakar Ortopedik di Hospital Kajang.  Dua minggu lagi tarikh yang diberikan.  Namun keadaan anak saya semakin teruk.  Kami akhirnya ke klinik panel.  Doktor yang merawatnya meminta dia segera ke hospital dan anak saya perlu dimasukkan ke wad.  Suratpun diberikan kepada saya untuk dibawa kepada doktor.  Namun setelah saya membawa surat itu, doktor tetap tidak membuat apa-apa dan entah berapa kali anak saya membuat X-RAY.  Dia pun semakin letih dan  semakin sakit .  Hampir sebulan kami berulang alik ke hospital dan hampir sebulan anak saya tidak dapat rasa tidur yang lena dan hampir sebulan jugalah saya dan suami berjaga malam untuk mengurut belakang badannya serta kakinya.

Akhirnya tiba hari berjumpa dengan pakar.  Setelah x-ray dibuat, mereka dapati anak saya mengalami slip disc, mereka mengarahkan anak saya masuk wad.  Sampai di dalam wad yang old school itu anak saya ditempatkan di wad satu.  Katil yang diberikan bagaikan boleh main jongkang jongket.  Saya bertanya dengan misi yang manis yang anak saya sakit belakang, katil yang diberikan sudah semestinya tidak memberikan keselesaan pada anak saya, lebih-lebih lagi bila tidur, bahagian kepala akan ke bawah dan terjongket bahagian kakinya pula, namun jawapan mereka katil yang elok tidak ada, cuma yang ada ini saja.

Saya melihat wajah anak saya yang benar-benar tidak selesa.  Kasihan dia.  Saya teringatkan insuran yang dibeli itu sudah hampir cukup matangnya.  Lalu saya transferkan anak saya ke hospital KPJ Kajang.  Saya merasa lega bila dapat menempatkan  dia ditempat yang selesa.

Setelah membuat MRI dan X-Ray doktor KPJ mengesahkan anak saya terkena slip disc.  Doktor memberi dua andaian, satu buat fisioterapi dan keduanya jika tak baik juga terpaksa dibedah.  Ohhhh tidak! Saya tidak akan membenarkan anak saya dibedah.  Dia masih muda, masih ada cara lain yang boleh dibuat. Kerana penyakit ini juga anak saya mendapat penyakit darah tingginya.  Hampir 8 hari anak saya tinggal di hospital itu.  Buat terapi dan makan ubat pain killer namun semuanya itu tidak mengurangkan sakitnya.

Akhirnya dia  dibenarkan pulang. Setelah hampir sebulan cuti, dia kembali bekerja, namun sakitnya datang kembali.  Sekali lagi Chef memintanya mengambil cuti tahunan pula.  Tidak sampai hati mereka melihat anak saya menahan sakit ketika bekerja.  Semasa dalam cuti saya membawa dia berurut, berendam dalam kolam air panas namun sakitnya hanya berapa persen saja kurang. Setiap hari saya akan mengurut, menampalkan koyok dan memastikan dia memakan ubat sebelum tidur.  Dia masih muda, jauh lagi perjalanan yang harus dia lalui, saya ingin pastikan dia sihat agar dia boleh bekerja demi masa depannya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini, pada anda adalah jagalah kesihatan kita, bersenam dan maintainkan tubuh badan yang ideal  kerana tiada gunanya kalau kita ada duit tapi kita sakit.  Duit akan habis kerana biayai rawatan.  Hargailah masa sihat sebelum tiba masa sakit.














Monday, June 17, 2013


KEMANISAN IMAN


Pada 1hb Jun 2013 mak dan adik-adik serta keluarganya menunaikan Umrah bersama.  Saya memang terasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat mengikuti mereka.  Ketika menghantar mereka ke KLIA dan melihat mereka masuk ke balai berlepas hati meronta-ronta ingin mengikutnya...hanya Allah yang tahu bagaimana hati ini sangat-sangat menangis.  Ya Allah, jadkanlah aku tetamu Mu suatu hari nanti.

Sepanjang mereka di sana saya sentiasa ternanti khabar berita dari adik perempuan saya.  Selalu tertanya khabar bonda di sana.  Alhamdulllah kemudahan sekarang memudahkan kita berinteraksi melalui chat fb.  

Namun yang peliknya setiap malam saya selalu termimpikan saya berada di sana bersama mereka melakukan tawaf.  Setiap hari saya mimpikan mereka. Adik perempuan saya juga merasa hairan.  Saya tertanya kenapa saya selalu mimpikan mereka? Sebelum ini saya selalu saja terlewat subuh.  Saya rasakan  tidur saya begitu nyenyak sekali dan setiap kali itu jugalah saya marahkan diri saya kerana terlewat bangun.  Tetapi sejak mereka di sana, tidur saya menjadi pendek.  Saya bangun awal dan siap-siap mandi untuk melakukan qiamulail.  Saya merasa begitu tenang dan damai melakukannya.  

Saya mengirimkan doa  pada adik saya bacakan untuk saya.  Namun ada yang dimakbul ada yang tidak.  Walau pada mulanya saya rasa sedih dan kecewa namun saya kembali semula kepada Allah.  Allah Maha Mengetahui apa-apa yang saya tidak ketahui.  Memang saya menangis dan menangis kerana kecewa apa yang saya harapkan gagal saya perolehi.  Tiada siapa yang tahu bagaimana saya menangis sungguh2nya sehingga membawa saya kembali sujud kepada Allah kerana sikap buruk sangka saya terhadapNya.  Astagfirullah alazim....saya sujud taubat....saya bertaubat sesungguhnya, setelah saya menangis dalam sujud memohon keampunanNya...tiba-tiba saya terasa satu ketenangan yang tidak pernah saya rasa sebelum ini.  Airmata saya terhenti tiba-tiba, seolah-olah tiada apa yang berlaku.  Subahanallah...Maha Suci Allah yang mendengar tangisan ini dan akhirnya saya redha dengan segala keputusanNya.  Saya sedar segala kesalahan saya.  Allah menegur saya dengan tidak mengkabulkan permintaan saya.  Bertolak dari itu saya kembali menjadi hambaNya yang sentiasa menjaga adab, pergaulan , percakapan dan solat .  Allah sayang kita kerana itu Allah tidak tunaikan sebahagian yang kita minta...kerana Dia Maha Mengetahui . Subahanallah.....

Thursday, April 11, 2013

AKHIRNYA...

Assalamualaikum wbt.

Saya panjatkan syukur Alhmadulillah ini pada Allah.  Akhirnya janji saya pada arwah ayah saya 25 tahun yang lalu terlaksana juga.  Nama saya sebagai penulis skrin  telah dipaparkan didalam television.  Cerita "HADIAH UNTUK AYAH" adalah telemovie saya yang pertama dan ianya tersiar pada genap 19 tahun ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Mekah ketika hendak menunaikan Haji.

Sesungguhnya ayahlah idola untuk saya menjadi anak yang solehah.  Ayahlah idola untuk saya membimbing anak saya menjadi anak yang soleh.  Ayah saya seorang lelaki yang baik .  Dia tidak pernah marah mak, kalau dia kena marah dengan mak ayah akan diam saja.  Kalau mak tak masak ayah akan masak sendiri, atau ayah akan ajak mak dan kami makan di luar.  Ayah juga seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. 

Satu ketika dulu arwah nenek, jatuh sakit kerana buatan orang.  Bertahun nenek sakit, dan puaslah ayah bawa dia berubat namun sikap nenek tetap begitu, sehingga semakin teruk.  Nenek bermain dengan najisnya sendiri, ayah terpaksa membuat bilik kecil nenek dibelakang dapur.  Setiap hari dan setiap pagi hidung kami akan sesak kerana bau najis nenek yang dipalit di seluruh bilik itu. 

Ayah pagi-pagi sudah pergi kerja, maklah yang kena cuci bilik dan mandikan nenek.  Mak selalu marah-marah nenek, saya hanya memerhatikan saja nenek, dan rasa kasihan dengan nenek yang selalu kena marah dan ahhhh(tak sanggup saya  mencatitkan di sini).  Nenek selalu memanggil nama datuk dan ayah.  Ayah tidak sanggup lagi mendengar bebelan mak yang merungut kerana ibunya itu, lalu ayah akan mandikan nenek setiap hari.  Saya lihat ayah mandikan nenek dengan penuh kasih sayangnya dan  beri nasihatnya pada nenek agar jangan membuat isterinya penat dan marah-marah. Ayah lap badan nenek, sikat rambut nenek, pakaikan bedak nenek dan suapkan nenek makan dan minum.  Setelah nenek tidur barulah ayah tinggalkan nenek dan kembali keluar bekerja.  Ayah bekerja sendiri, tiada masalah untuknya uruskan nenek setiap pagi.Ayah selalu pesan pada saya supaya jaga nenek jika ayah keluar bekerja, dan sayalah selalu menggantikan tempat ayah, membersihkan nenek yang dipenuhi dengan najisnya sendiri.

Akhirnya ayah nekad untuk mengubat nenek.  Ayah bawa nenek berubat jauh ke Johor. Kuasa Allah, akhirnya nenek sembuh.  Nenek kena buatan orang yang pernah mencintainya dahulu.  Agak lama nenek menanggung sakit.  Ayah pulak masa tu orang susah dan berhijrah ke kota untuk bekerja sebagai pemandu kereta pada seorang doctor.  Bila kehidupan ayah sudah selesa setiap bulan ayah akan pulang tetapi ayah pulang tidak lama kerana itulah ayah tidak pernah tahu nenek sakit ke tidak,arwah datuk pun tidak pernah ceritakan pada ayah tentang nenek.  Bila arwah datuk tiada, ayah membawa nenek tinggal bersamanya dan pada masa itulah ayah baru tahu nenek sakit.  Nenek meninggal sebaik saja sampai ke rumah.  Sayalah cucunya yang paling sedih dan menangis tiada hentinya.  Segala kenangan bersama nenek bermain di mata, ketawa nenek,joget nenek, panggilan manja nenek pada saya...semuanya itu tertayang kembali.  Ayah memanggil saya untuk mencium jenazah nenek...ayah kata saya selalu jaga nenek, saya berhak mencium dahi nenek dulu dari adik beradik  yang lain. 

Saya kagum dengan sikap kasih sayang ayah terhadap ibunya.  Ayah juga selalu susah hati kalau anak-anak dia tidak solat.  Ayah akan termenung bila melihat anak-anaknya leka menonton tv.  Tapi ayah selalu gembira melihat saya sering jalan pulang di belakangnya setelah solat di masjid, lebih-lebih lagi bulan ramadhan.

Sebelum ayah hendak ke Mekah, ayah memanggil saya pulang untuk menjaga adik-adik, rumah dan teksinya.  Ayah hanya mengharap pada saya.  Terasa berat bebanan ini namun demi ayah, saya sanggup memikulnya. Tinggallah saya dan suami serta anak kecildi rumah ayah menjaga adik-adik.

Beberapa lama kemudian saya mendapat mimpi, sebuah kereta menghantar mak pulang dari Mekah.  Keluar tiga orang wanita Arab yang tinggi dan berjubah dari kereta.  Mereka mengeluarkan beg pakaian ayah.  Mak hanya diam tak berkata apa-apa.  Saya Tanya pada mak mana ayah? Salah seorang wanita Arab itu berkata yang ayah sudah tiada lagi.  Saya tidak percaya kata-kata wanita Arab itu.  Saya kata saya tak percaya ayah tiada lagi.  Wanita Arab itu cuba menenangkan saya, saya bertambah menangis bila melihat beg pakaian ayah dan tiba-tiba saya terjaga sambil teresak-esak.  Saya khabarkan mimpi itu pada suami dan Kak Long tapi kata mereka kata selalunya kalau kita mimpi orang meninggal maknanya umurnya panjang.  Namun tiga hari selepas mimpi itu, saya menerima telegram dari Mekah mengatakan ayah sudah meninggal di sana. 

Ya Allah akhirnya impian ayah tercapai.  Dia memang ingin meninggal di sana. Saya benar-benar terharu mimpi itu menjadi benar.  Kalau saya tahu pastinya keinginan ayah dua hari yang lalu sebelum dia meninggal ingin bercakap dengan adik kecil  itu pasti saya tunaikan, tapi ketika itu adik  masih belum pulang dari sekolah.

Ayah....segala kenangan bersama ayah sentiasa dalam ingatan ini. Alfatihah buat ayah...semoga Allah melimpahi rahmat keatas roh ayah.
Sesungguhnya saya tetap merindui ayah. Ini juga Hadiah untuk Ayah.

Thursday, January 17, 2013

Tenggelamnya sebuah suara


Semua org boleh bersuara tapi adakalanya suara kita tak sependapat orang, kita tak boleh ikut kehendak orang kerana kita ada hak bersuara, kita juga tidak boleh menggunakan hak suara kita sesuka hati kerana kena menjaga hati dan perasaan orang dan kita juga merasa rimas kerana kita dirantai didalam kotak tatasusila kita sebagai manusia tetapi adakalanya kita terpaksa melanggar dan memecahkan kotak itu demi hak kebebasan kita bersuara....dan akhirnya suara kita tenggelam dek kepenatan kita dalam berusaha meninggikan suara....