Friday, February 1, 2019

 PERGINYA BONDA BUAT SELAMANYA

Siapa tak sayang mak?  Semua anak menyayangi emaknya  cepat atau lambat lama kelamaan perasaan itu datang dan mengakui emak  adalah orang yang tak boleh diganti oleh sesiapa jua pun.  Tanggal 27 hb Jan 2019, tepat pukul 1.30 pagi emak pergi buat selamanya dengan wajah yang tersenyum.  Angin diluar rumah mak berhembus dan mendinginkan suasana pagi itu, tangisan kami mendayu sehembus angin yang bertiup lembut.

Aku seakan tak percaya mak pergi buat kali terakhir.  Aku seakan tak percaya mak dah tak ada. Aku tatap wajah mak...mak macam tidur.  Mak tidurkan. Tapi aku kena sedar yang mak memang dah tiada.  Adik beradikku semuanya dah duduk keliling mak baca Yassin.  Badan mak sejuk, wajah mak tersenyum dan berseri.

Hari kian siang.  Ramai jiran dan sedara mara mula membanjiri rumah mak, ziarah mak.  Perasaan ku ketika itu hilang arah.  Aku termenung seketika, flash back adakah selama ini aku selalu melayani mak.  Ya, aku melayani mak sebagai Ratu.  Kalau aku datang selalu aku tanya mak nak makan apa dan belikan apa yang mak nak.  Mak suka buah-buahan, terutama pisang dan anggur. Aku pula akan beli mak buah yang mahal2 utk mak.   Aku akan penuhi segala permintaan mak.  Aku selalu dtg ke rumah mak dan layan mak tengok tv dan berbual mesra.  Mak selalu tonton hasil karya aku di tv.  Mak selalu doakan untuk aku sebab aku selalu minta mak doakan untuk aku, kerana aku tahu doa mak selalu diijab oleh Allah. Doa mak Allah makbulkan segera.
Aku tersenyum lagi sebab dua minggu sebelum ini aku pernah tanya mak..

Aku:"mak kenapa muka mak lain?"
Mak :Lain macam mana?
Aku: Muka mak nampak putih bersih dan berseri...mak pakai apa?
Mak: Tak pakai apa-apa pun.

Itu yang aku ingat wajah mak dah mula lain.  Mak gembira sejak kebelakangan ini.  Mak nak tengok cucu dia (yakni anak aku yg kerja di luar negara) Mak kata dia rindu dengan Sufi.   Bila Sufi pulang bercuti aku bawa Sufi jumpa neneknya.  Neneknya peluk dan Sufi cium neneknya.  Aku masih ingat lagi dialog mak dengan Sufi.

Mak: Fi...nenek nak makan kerabu mangga ...boleh buatkan untuk nenek tak?
Sufi: Boleh...nanti Sufi buat untuk nenek .
Mak: Kalau tak boleh buat...bagi je nenek resipi biar nenek buat.
Sufi: (KETAWA) Bagi nenek resipi pun bukan nenek boleh buat...

Anak ku seorang Chef selalu masakan untuk neneknya dan sempatlah Sufi dpt masakkan bubur nasi berlauk 7 jenis lauk bersama kerabu mangga yang dia nak.

Sepatutnya Sufi  pulang semula ke HK 25/1/ 2019 tapi dpt call dari majikannya yang tarikh itu dipostponed pada 1/2/2019.  Tak sangka...aturan Allah itu indah.  Sufi dapat melihat neneknya buat kali terakhir dan menjalankan tanggungjawabnya buat kali terakhir.

Cepat benar masa berlalu dah seminggu mak pergi, tapi aku rasa macam semlm mak tinggalkan kami.
Mak terima kasih melahirkan aku, membesarkan aku dan melayan segala kerenah aku.   Terima kasih Allah memberikan aku kesempatan melayan mak macam Ratu, terima kasih Allah kerana berikan perasaan kasih sayang mendalam pada  mak.  Terima kasih Ya Allah kerana berikan aku kesempatan memandikan mak dan anakku menguruskan jenazah neneknya sekali.  Terima kasih Ya Allah aturan Mu itu memang indah. Alfatihah untuk mak Patimah Esmail


Wednesday, June 7, 2017

TERBARU!! Cerita Seram MASTIKA 2017 - SEKSAAN KUBUR ITU TERLALU PEDIH

Thursday, November 21, 2013

BERCERITA TENTANG BERSALIN

Saya terdengar di televisyen TV9 Semanis Kurma yang kali ini membincangkan topik Aurat Ketika Bersalin. Saya tersenyum mendengarnya. Tapi cerita saya bukan mengenai aurat tetapi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh setiap ibu.  Teringat pula 24 tahun yang lalu ketika saya bergelut untuk melahirkan putera tunggal saya,  Ketika itu usia saya baru 23 masih muda dan tidak bekerja pula.  Namun masa yang lapang itu tidak dibiar berlalu begitu saja.  Saya pelajari segala teknik pernafasan, teknik pergerakkan, senaman memudahkan bersalin dan juga aktif membuat kerja.  Bayi dalam kandung tidak banyak ragam. Saya juga mengaji Al-Quran, membaca Surah Yussuf, Surah Maryam dan beberapa surah lagi untuk bayi saya.  Sebelum tidur pula saya akan berzikir sambil mengusap perut.  Sungguh bayi didalam perut tidak meragam.   8 bulan terakhir, anak saya disahkan berada dalam kedudukan songsang, kaki ke bawah.  Mak cuba ajak saya berurut untuk membetulkan kedudukan bayi tetapi saya tdak berani mengambil risiko, saya tidak mahu menyakitkan baby  dan tidak mahu ada apa -apa yang berlaku padanya.  Saya terima dengan redha atas ketentuan Allah.

Tiba masa saya dikejarkan ke hospital.  Saya dihantar oleh mak dan ayah, ditemani adik 2tahun yang mulutnya becok ketika itu.  Suami ketika itu ada urusan lain, dan dia tidak tahu yang pada hari itu saya akan bersalin.   Mujurlah saya tidak mengikutnya kalau tidak bersalinlah saya atas jalan.  Pada waktu siang hari saya hanya memakan semangkuk kecil nasi dan sayur bayam kegemaran baby .  Saya diberitahu bahawa saya akan dibedah, tetapi pada malam itu tepat pukul 12 malam saya didatangi seorang doktor untuk bertanyakan tentang bius epidural,  Saya cakap saya sudah baca mengenainya dan saya setuju untuk menerimanya, dan dalam keadaan terketar-ketar itu saya menandatangani surat persetujuan itu.   Mereka pun memulakan operasi kecil untuk memasukan bius itu, tetapi saya sedikit pun tidak sedar.

Pada keesokan harinya saya demam kerana kesejukkan, baby pula berdenyut perlahan, seorang misi mula membebel keran membiarkan saya begitu lama untuk bersalin.  Saya tahu saya dijaga oleh seorang doktor lelaki berbangsa Cina.  Dia menjaga saya dengan baik sekali.  Saya menunggu masa saya untuk bersalin, tapi saya tahu pada hari itu terlalu ramai baby dilahirkan, sehingga mereka tidak cukup troly dan ada baby yang dah nak keluar dah.  Doktor pula berlari ke sana dan ke sini menyambut baby.  Sebelah katil saya pula menjerit kesakitan kerana dijahit.  Ohhhh saya pula yang ngilu.  Saya menunggu giliran saya tiba, dan tidak tahu apakah yang akan saya lalui.

Setelah saya tanya dengan doktor itu, barulah dia beritahu yang saya boleh lahir secara normal .  Mendengar kata doktor itu saya membuat keputusan untuk melahirkan segera anak saya ini sebelum dia terus lemas dalam kandungan saya, kerana air mentuban sudah lama pecah.  Melihat keadaan saya hendak bersalin , segera doktor datang menghampiri saya dan bilangan doktor  semakin ramai.  Sepanjang proses bersalin, saya tidak terhenti membaca alfatihah, ayat kursi, ayat 3 kul, selawat nabi dan saya gunakan teknik pernafasan dengan betul....mereka turut membantu saya membaca Alfatihah ketika saya hampir kepenatan.......Alhamdulillah tepat pukul 4 petang hari Jumaat lahirlah putera saya yang saya namakan MUHAMMAD SUFI....kehadirannya menyerikan hidup saya dan suami hingga kini.  Terima kasih ALLAH atas kurniaan Mu ini.




Monday, October 21, 2013

SLIP DISC...

Apa itu slip disc?  Slipped disc secara ringkas bermaksud tulang belakang yang “teralih” atau “mengelongsor dari kedudukan asal. Ini disebabkab oleh gel antara tulang yang berfungsi menyerap tekanan telah bocor seterusnya mengakibatkan alihan. Apabila ini terjadi, tulang akan menekan pula saraf-saraf yang mengawal anggota badan seperti kaki, tangan dan leher. Kesakitan melampau menyebabkan anggota badan menjadi kebas pergerakan akan terbatas.  Pertama kali mendengarnya bila adik saya dimasukkan wad kerana slip disc.  Tidak pernah tahu bagaimana menderitanya adik saya ketika itu . Namun setelah anak bujang saya terkena slip disc ini saya mula resah dan hati disaluti kebimbangan yang amat.  Setelah anak saya terkena , anak buah pula terkena juga penyakit ini.

Sejak akhir-akhir ini penyakit itu berada disekeliling saya.  Rata-rata saya mendengar ramai yang terkena.
Melihat penderitaan yang dilalui anak saya ianya membuatkan saya tidak senang tidur.  Kasihan dia, malam-malam mengadu tidak dapat tidur, kaki dan belakangnya terasa sakit dan kebas serta berdenyut.  Dalam mata yang terpejam saya mengurut belakangnya.  Namun urutan malas saya tidak mengurangkan sakitnya.
Akhirnya menjelang subuh barulah dia tertidur...itupun dalam keadaan duduk.  Kasihan sungguh saya melihat keaaannya ketika itu.

Namun dia tetap pergi ke kerjanya.  Kerja sebagai Chef menambahkan kesakitannya.  Ketika menjemput dia pulang, saya tertanya kenapa jalan dia bagaikan raksaksa, terbongkok dan kekang.  Dia menjawab dalam keadaan menahan sakit....sakit mama.  Malam itu juga dia tidak boleh tidur, sakitnya menjadi-jadi.  Pukul 2 pagi saya membawa dia ke hospital Kajang  bahagian kecemasan.  Hampir dua jam menunggu barulah dapat masuk berjumpa dengan doktor.  Setelah pemeriksaan dibuat doktor hanya mengatakan ini hanyalah muscle pain, tidak ada apa2 yang serius.  Anak saya diberikan ubat pain killer.  Namun ubat itu tidak melegakan.

Selang dua hari , sekali lagi kami ke hospital di waktu tengah malam bahagian kecemasan lagi.  Doktor tetap menyatakan hanya muscle pain, dan ubat yang sama juga dibekalkan dan juga MC kepada anak saya.
Anak saya tetap sakit.  Setelah habis mc dia pergi juga ke tempat kerjanya dalam keadaan yang amat sakit.
Sampai di tempat kerjanya dia diarah pulang oleh Chefnya yang tidak sanggup melihat keadaan dia yang terbongkok-bongkok dan sangat payah untuk berjalan.  Pada malam itu juga saya membawa dia ke Hospital Serdang bahagian kecemasan.  Dari pukul 11.40 mlm kami menunggu , pukul 4.30 pagi barulah kami dapat berjumpa dengan doktor, dan jawapan yang sama juga diberi muscle pain.  Mc dan ubat diberi, namun anak saya tetap sakit.

Selang dua hari, saya membawa dia ke Klinik Kesihatan Semenyih.  Doktor membuat X-RAY dan meminta anak saya berjumpa dengan pakar Ortopedik. Saya bertanyakan sebenarnya anak saya sakit apa....doktor itu tidak dapat memberi jawapan pasti, hanya dia menyuruh anak saya berjumpa dengan Pakar itu.
Sekali lagi Mc dan bekalan ubat dibawa pulang.  Saya kira hampir enam belas hari anak saya sudah mengambil mc.  Macam-macam rawatan yang dibuat, berurut, akupuntur namun tidak ada yang kurang pun. Duit pun banyak habis dengan rawatan.

Saya segera membuat temu janji dengan pakar Ortopedik di Hospital Kajang.  Dua minggu lagi tarikh yang diberikan.  Namun keadaan anak saya semakin teruk.  Kami akhirnya ke klinik panel.  Doktor yang merawatnya meminta dia segera ke hospital dan anak saya perlu dimasukkan ke wad.  Suratpun diberikan kepada saya untuk dibawa kepada doktor.  Namun setelah saya membawa surat itu, doktor tetap tidak membuat apa-apa dan entah berapa kali anak saya membuat X-RAY.  Dia pun semakin letih dan  semakin sakit .  Hampir sebulan kami berulang alik ke hospital dan hampir sebulan anak saya tidak dapat rasa tidur yang lena dan hampir sebulan jugalah saya dan suami berjaga malam untuk mengurut belakang badannya serta kakinya.

Akhirnya tiba hari berjumpa dengan pakar.  Setelah x-ray dibuat, mereka dapati anak saya mengalami slip disc, mereka mengarahkan anak saya masuk wad.  Sampai di dalam wad yang old school itu anak saya ditempatkan di wad satu.  Katil yang diberikan bagaikan boleh main jongkang jongket.  Saya bertanya dengan misi yang manis yang anak saya sakit belakang, katil yang diberikan sudah semestinya tidak memberikan keselesaan pada anak saya, lebih-lebih lagi bila tidur, bahagian kepala akan ke bawah dan terjongket bahagian kakinya pula, namun jawapan mereka katil yang elok tidak ada, cuma yang ada ini saja.

Saya melihat wajah anak saya yang benar-benar tidak selesa.  Kasihan dia.  Saya teringatkan insuran yang dibeli itu sudah hampir cukup matangnya.  Lalu saya transferkan anak saya ke hospital KPJ Kajang.  Saya merasa lega bila dapat menempatkan  dia ditempat yang selesa.

Setelah membuat MRI dan X-Ray doktor KPJ mengesahkan anak saya terkena slip disc.  Doktor memberi dua andaian, satu buat fisioterapi dan keduanya jika tak baik juga terpaksa dibedah.  Ohhhh tidak! Saya tidak akan membenarkan anak saya dibedah.  Dia masih muda, masih ada cara lain yang boleh dibuat. Kerana penyakit ini juga anak saya mendapat penyakit darah tingginya.  Hampir 8 hari anak saya tinggal di hospital itu.  Buat terapi dan makan ubat pain killer namun semuanya itu tidak mengurangkan sakitnya.

Akhirnya dia  dibenarkan pulang. Setelah hampir sebulan cuti, dia kembali bekerja, namun sakitnya datang kembali.  Sekali lagi Chef memintanya mengambil cuti tahunan pula.  Tidak sampai hati mereka melihat anak saya menahan sakit ketika bekerja.  Semasa dalam cuti saya membawa dia berurut, berendam dalam kolam air panas namun sakitnya hanya berapa persen saja kurang. Setiap hari saya akan mengurut, menampalkan koyok dan memastikan dia memakan ubat sebelum tidur.  Dia masih muda, jauh lagi perjalanan yang harus dia lalui, saya ingin pastikan dia sihat agar dia boleh bekerja demi masa depannya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini, pada anda adalah jagalah kesihatan kita, bersenam dan maintainkan tubuh badan yang ideal  kerana tiada gunanya kalau kita ada duit tapi kita sakit.  Duit akan habis kerana biayai rawatan.  Hargailah masa sihat sebelum tiba masa sakit.














Monday, June 17, 2013


KEMANISAN IMAN


Pada 1hb Jun 2013 mak dan adik-adik serta keluarganya menunaikan Umrah bersama.  Saya memang terasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat mengikuti mereka.  Ketika menghantar mereka ke KLIA dan melihat mereka masuk ke balai berlepas hati meronta-ronta ingin mengikutnya...hanya Allah yang tahu bagaimana hati ini sangat-sangat menangis.  Ya Allah, jadkanlah aku tetamu Mu suatu hari nanti.

Sepanjang mereka di sana saya sentiasa ternanti khabar berita dari adik perempuan saya.  Selalu tertanya khabar bonda di sana.  Alhamdulllah kemudahan sekarang memudahkan kita berinteraksi melalui chat fb.  

Namun yang peliknya setiap malam saya selalu termimpikan saya berada di sana bersama mereka melakukan tawaf.  Setiap hari saya mimpikan mereka. Adik perempuan saya juga merasa hairan.  Saya tertanya kenapa saya selalu mimpikan mereka? Sebelum ini saya selalu saja terlewat subuh.  Saya rasakan  tidur saya begitu nyenyak sekali dan setiap kali itu jugalah saya marahkan diri saya kerana terlewat bangun.  Tetapi sejak mereka di sana, tidur saya menjadi pendek.  Saya bangun awal dan siap-siap mandi untuk melakukan qiamulail.  Saya merasa begitu tenang dan damai melakukannya.  

Saya mengirimkan doa  pada adik saya bacakan untuk saya.  Namun ada yang dimakbul ada yang tidak.  Walau pada mulanya saya rasa sedih dan kecewa namun saya kembali semula kepada Allah.  Allah Maha Mengetahui apa-apa yang saya tidak ketahui.  Memang saya menangis dan menangis kerana kecewa apa yang saya harapkan gagal saya perolehi.  Tiada siapa yang tahu bagaimana saya menangis sungguh2nya sehingga membawa saya kembali sujud kepada Allah kerana sikap buruk sangka saya terhadapNya.  Astagfirullah alazim....saya sujud taubat....saya bertaubat sesungguhnya, setelah saya menangis dalam sujud memohon keampunanNya...tiba-tiba saya terasa satu ketenangan yang tidak pernah saya rasa sebelum ini.  Airmata saya terhenti tiba-tiba, seolah-olah tiada apa yang berlaku.  Subahanallah...Maha Suci Allah yang mendengar tangisan ini dan akhirnya saya redha dengan segala keputusanNya.  Saya sedar segala kesalahan saya.  Allah menegur saya dengan tidak mengkabulkan permintaan saya.  Bertolak dari itu saya kembali menjadi hambaNya yang sentiasa menjaga adab, pergaulan , percakapan dan solat .  Allah sayang kita kerana itu Allah tidak tunaikan sebahagian yang kita minta...kerana Dia Maha Mengetahui . Subahanallah.....

Thursday, April 11, 2013

AKHIRNYA...

Assalamualaikum wbt.

Saya panjatkan syukur Alhmadulillah ini pada Allah.  Akhirnya janji saya pada arwah ayah saya 25 tahun yang lalu terlaksana juga.  Nama saya sebagai penulis skrin  telah dipaparkan didalam television.  Cerita "HADIAH UNTUK AYAH" adalah telemovie saya yang pertama dan ianya tersiar pada genap 19 tahun ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Mekah ketika hendak menunaikan Haji.

Sesungguhnya ayahlah idola untuk saya menjadi anak yang solehah.  Ayahlah idola untuk saya membimbing anak saya menjadi anak yang soleh.  Ayah saya seorang lelaki yang baik .  Dia tidak pernah marah mak, kalau dia kena marah dengan mak ayah akan diam saja.  Kalau mak tak masak ayah akan masak sendiri, atau ayah akan ajak mak dan kami makan di luar.  Ayah juga seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. 

Satu ketika dulu arwah nenek, jatuh sakit kerana buatan orang.  Bertahun nenek sakit, dan puaslah ayah bawa dia berubat namun sikap nenek tetap begitu, sehingga semakin teruk.  Nenek bermain dengan najisnya sendiri, ayah terpaksa membuat bilik kecil nenek dibelakang dapur.  Setiap hari dan setiap pagi hidung kami akan sesak kerana bau najis nenek yang dipalit di seluruh bilik itu. 

Ayah pagi-pagi sudah pergi kerja, maklah yang kena cuci bilik dan mandikan nenek.  Mak selalu marah-marah nenek, saya hanya memerhatikan saja nenek, dan rasa kasihan dengan nenek yang selalu kena marah dan ahhhh(tak sanggup saya  mencatitkan di sini).  Nenek selalu memanggil nama datuk dan ayah.  Ayah tidak sanggup lagi mendengar bebelan mak yang merungut kerana ibunya itu, lalu ayah akan mandikan nenek setiap hari.  Saya lihat ayah mandikan nenek dengan penuh kasih sayangnya dan  beri nasihatnya pada nenek agar jangan membuat isterinya penat dan marah-marah. Ayah lap badan nenek, sikat rambut nenek, pakaikan bedak nenek dan suapkan nenek makan dan minum.  Setelah nenek tidur barulah ayah tinggalkan nenek dan kembali keluar bekerja.  Ayah bekerja sendiri, tiada masalah untuknya uruskan nenek setiap pagi.Ayah selalu pesan pada saya supaya jaga nenek jika ayah keluar bekerja, dan sayalah selalu menggantikan tempat ayah, membersihkan nenek yang dipenuhi dengan najisnya sendiri.

Akhirnya ayah nekad untuk mengubat nenek.  Ayah bawa nenek berubat jauh ke Johor. Kuasa Allah, akhirnya nenek sembuh.  Nenek kena buatan orang yang pernah mencintainya dahulu.  Agak lama nenek menanggung sakit.  Ayah pulak masa tu orang susah dan berhijrah ke kota untuk bekerja sebagai pemandu kereta pada seorang doctor.  Bila kehidupan ayah sudah selesa setiap bulan ayah akan pulang tetapi ayah pulang tidak lama kerana itulah ayah tidak pernah tahu nenek sakit ke tidak,arwah datuk pun tidak pernah ceritakan pada ayah tentang nenek.  Bila arwah datuk tiada, ayah membawa nenek tinggal bersamanya dan pada masa itulah ayah baru tahu nenek sakit.  Nenek meninggal sebaik saja sampai ke rumah.  Sayalah cucunya yang paling sedih dan menangis tiada hentinya.  Segala kenangan bersama nenek bermain di mata, ketawa nenek,joget nenek, panggilan manja nenek pada saya...semuanya itu tertayang kembali.  Ayah memanggil saya untuk mencium jenazah nenek...ayah kata saya selalu jaga nenek, saya berhak mencium dahi nenek dulu dari adik beradik  yang lain. 

Saya kagum dengan sikap kasih sayang ayah terhadap ibunya.  Ayah juga selalu susah hati kalau anak-anak dia tidak solat.  Ayah akan termenung bila melihat anak-anaknya leka menonton tv.  Tapi ayah selalu gembira melihat saya sering jalan pulang di belakangnya setelah solat di masjid, lebih-lebih lagi bulan ramadhan.

Sebelum ayah hendak ke Mekah, ayah memanggil saya pulang untuk menjaga adik-adik, rumah dan teksinya.  Ayah hanya mengharap pada saya.  Terasa berat bebanan ini namun demi ayah, saya sanggup memikulnya. Tinggallah saya dan suami serta anak kecildi rumah ayah menjaga adik-adik.

Beberapa lama kemudian saya mendapat mimpi, sebuah kereta menghantar mak pulang dari Mekah.  Keluar tiga orang wanita Arab yang tinggi dan berjubah dari kereta.  Mereka mengeluarkan beg pakaian ayah.  Mak hanya diam tak berkata apa-apa.  Saya Tanya pada mak mana ayah? Salah seorang wanita Arab itu berkata yang ayah sudah tiada lagi.  Saya tidak percaya kata-kata wanita Arab itu.  Saya kata saya tak percaya ayah tiada lagi.  Wanita Arab itu cuba menenangkan saya, saya bertambah menangis bila melihat beg pakaian ayah dan tiba-tiba saya terjaga sambil teresak-esak.  Saya khabarkan mimpi itu pada suami dan Kak Long tapi kata mereka kata selalunya kalau kita mimpi orang meninggal maknanya umurnya panjang.  Namun tiga hari selepas mimpi itu, saya menerima telegram dari Mekah mengatakan ayah sudah meninggal di sana. 

Ya Allah akhirnya impian ayah tercapai.  Dia memang ingin meninggal di sana. Saya benar-benar terharu mimpi itu menjadi benar.  Kalau saya tahu pastinya keinginan ayah dua hari yang lalu sebelum dia meninggal ingin bercakap dengan adik kecil  itu pasti saya tunaikan, tapi ketika itu adik  masih belum pulang dari sekolah.

Ayah....segala kenangan bersama ayah sentiasa dalam ingatan ini. Alfatihah buat ayah...semoga Allah melimpahi rahmat keatas roh ayah.
Sesungguhnya saya tetap merindui ayah. Ini juga Hadiah untuk Ayah.

Thursday, January 17, 2013

Tenggelamnya sebuah suara


Semua org boleh bersuara tapi adakalanya suara kita tak sependapat orang, kita tak boleh ikut kehendak orang kerana kita ada hak bersuara, kita juga tidak boleh menggunakan hak suara kita sesuka hati kerana kena menjaga hati dan perasaan orang dan kita juga merasa rimas kerana kita dirantai didalam kotak tatasusila kita sebagai manusia tetapi adakalanya kita terpaksa melanggar dan memecahkan kotak itu demi hak kebebasan kita bersuara....dan akhirnya suara kita tenggelam dek kepenatan kita dalam berusaha meninggikan suara....

Selamat Datang 2013

Hai,
Sudah lama tidak menulis didalam blog ini, kekangan masa selalu mencemburui kehadiran diri ke sini, namun begitu sempat mengambil kesempatan untuk berlari sejenak ke sini dan menulis bagi melepaskan rindu yang terbuku didalam hati.

Tahun 2012 telah pun pergi, banyak kenangan manis dan pahit telah pun berlalu.  Namun rasa syukur kepada Allah kerana perjalanan 2012 berjalan begitu baik sekali.  Tiada berlaku kemalangan dan juga pengalaman pahit seperti tahun yang sebelum ini.  Sempat juga aku bermuhasabah diri tentang kehidupan ini. Pada mereka yang merasakan hidup ini amat mengecewakan ingin saya berkongsi cerita dengan anda.

Ambillah masa sejenak membaca cerita saya ini, mungkin cerita saya akan mengurangkan kesesakan didalam dada anda.  Duduk dengan berlapang dada, menarik nafas sedalamnya dan hembuskan buatlah 3 kali.  Baiklah, saya akan mula bercerita.

Ceritanya begini:

Dulu ketika umur saya 10 tahun dahulu, saya tak pernah mempunyai cita-cita.  Bila cikgu bertanya dengan saya apakah cita-cita saya, saya termanggu seketika...akhirnya saya jawab saya nak jadi cikgu.  Tetapi terus terang saya katakan saya tak tahu apa yang saya inginkan bila saya dewasa kelak.  Saya biarkan masa terus berlalu, dan akhirnya saya tidak mempunyai cita-cita hingga tamat sekolah.  Sebabnya kenapa saya jadi begini adalah kerana saya tidak diberi dorongan dan bimbingan oleh keluarga.  Ibu bapa saya sibuk bekerja membanting tulang memastikan urusan perniagaan mereka berjalan dengan lancar, sehingga mereka mengabaikan saya anak kelima dari tujuh adik beradik ketika itu.  Saya tidak dibenarkan kerja, kerana ayah tidak mempercayai saya kerana saya berbadan kecil comel.  Saya tidak disuntik dengan kata-kata semangat oleh mereka sedangkan saya ingin juga berjaya dan mempunyai cita-cita.  Ibu pula ketika itu tidak mementingkan pelajaran dan kerjaya saya, katanya apa guna saya belajar dan akhirnya saya ke dapur juga.  Saya rasa sedih dan menangis, usia remaja saya penuh dengan kesepian, keseorangan dan ditemani dengan tangisan.  Tiada siapa yang mendengar tangisan saya.  Saya akhirnya sentiasa berkomunikasi dengan Allah setiap malam.  Saya sembahyang Tahjudd dan mengaji setiap malam, saya menemui ketenangan diwaktu itu.

Akhirnya saya kahwin dengan seorang lelaki yg kini suami saya, ketika itu usianya sudah menjangkau 30 tahun.  Bezanya dia dgn saya 9 tahun.  Kalau dilihat pada ramalan manusia, saya dengan dia tidak akan kekal bahagia, Antara saya dengan dia banyak yang tiada persamaannya, dan sepanjang perkahwinan itu saya dan suami mengalami pelbagai rintangan yang ingin memisahkan kami.  Tetapi saya tahu jika semuanya itu tidak akan berlaku jika Allah tidak memperkenankannya.

Sekali lagi hidup saya bergelumang dengan airmata.  Pendapatan suami saya dahulu tidak sebesar mana, kami menumpang di rumah mak saya, dan entah beberapa kali saya dan suami dihalau keluar dari rumah mak.  Saya pun tak tahu kenapa mak membenci saya dari dulu lagi, namun saya tidak pernah marahkan mak saya dan membenci dia.  Nasib saya juga tidak baik bila ipar duai turut benci saya, mereka membuat fitnah ke atas saya dan meminta suami menceraikan saya.  Airmata saya berjurai lagi.  Dugaan Allah Maha Hebat buat saya yang bertubuh kecil ini. Apa salah saya tidaklah saya ketahui, apa yang tersirat di kepala saya adalah Allah ingin menguji ketabahan hati saya.

Suami saya memang baik dia tidak mendengar fitnah itu.  Saya tetap dia sayangi.  Namun dugaan lain pula datang, saya dimarahi pula oeh ibu mertua kerana hasutan ipar saya yang tidak sudah-sudah mencari pasal dengan saya.  Saya dipulaukan oleh keluarga mentua sya dan suami saya pula bagaikan tak punya perasaan kerana dia juga seakan mengikut rentak keluarganya.  Saya menangis lagi, hidup saya penuh dengan kesedihan.  Saya hampir dilanggar kereta ketika saya mencari suami saya ditempat kerjanya kerana perbuatan ipar saya yang tidak dapat saya terima.  Ketika itu saya sedang mengandung anak pertama.  Saya menangis dan menangis.  Saya tidak tahan hidup berkongsi rumah dengan mereka,  Segala masakan saya untuk suami yang disimpan didalam almari makanan dikeluarkan dan dibiarkan lalat bertelur.  Bila saya dan suami nak makan saya lihat telur lalat banyak dan akhirnya saya membuang semua makanan itu.  Kejamkan.
Pakaian saya dalam washing machine habis dikeluarkannya sebelum sempat dicuci sepenuhnya.  Saya hanya diam saja, suami juga tak berkata apa-apa kerana itu adik-beradiknya.

Kandungan saya mengalami masalah.  Doktor meminta saya berehat panjang jika saya sayangkan baby itu.  Saya kembali tinggal di rumah mak saya, tetapi keadaan yang sama juga berlaku.  Mak masih marah-marahkan saya.  Saya terpaksa pekakkan telinga mendengar kemarahannya, hendak pindah rumah sewa, terus terang saya katakan suami saya tidak mampu.  Lagipun kata ayah itu juga rumah saya, saya tak perlu keluar dari rumahnya.  Saya pegang janji ayah.  Akhirnya saya bersalin dan melahirkan saya baby lelaki dan saya namakan dia seperti nama yang saya dpt dari mimpi saya.  Hidup saya ceria sedikit dgn kehadiran si kecil itu.  Namun kebahagiaan saya tak lama, apabila suami mula mata keranjang.  Saya terpaksa mempertahankan rumahtangga saya demi si kecil ini.  Cemburu saya telah melompat tinggi, tinggi dari ketinggian saya.  Dan semenjak itu saya menjaga rumahtangga saya sebaik mungkin.   Dugaan datang bertimpa-timpa, hanya Allah saja yang tahu.  Dan akhirnya saya berserah semuanya kepada Allah, jika saya coretkan semuanya ini pasti airmata saya berjuraian.  Saya sanggup berkongsi susah dan senang bersama suami saya.  Saya membesarkan anak saya dengan pelbagai ranjau dan duri kehidupan.  Suami saya inginkan anak lagi, setelah puas namun tidak berhasil.  Suami mula termakan pujuk dan cadangan dari kawan perempuannya di pejabat untuk membawa saya berubat dan berurut.  Saya berurut setiap tempat yang disruh sehinggalah satu hari saya sakit perut yang amat sangat.  Bila saya ke klinik , doktor itu mula membebel dgn saya kerana katanya saya tak sayangkan diri saya sendiri.  Saya agak terkejut mendengarnya, dr. itu beritahu saya yang peranakan saya sudah bengkak dan berlaku pembekuan darah didalamnya, saya perlu berpantang semula.  Saya terkesima mendengarnya, betapa bodohnya saya kerana mengikut kata suami dan membahayakan diri sendiri.  Dan semenjak itu saya tidak lagi mengikut kehendaknya.  Saya pasrah pada qada dan qadar dari Allah.

Saya akan sambung lagi di masa yg akan datang.......

Monday, September 24, 2012

DRAMA RTM "HADIAH UNTUK AYAH"

Ini pula skrip ke dua saya berjudul " Hadiah Untuk Ayah".  Cerita ini mengisahkan dua orang anak yang nakal telah memutuskan tasbih kesayangan ayahnya.  Mereka telah menyembunyikan tasbih itu.  Kehilangan tasbih itu telah membuat bapanya rasa sugul.  Mereka merasa pelik dan hairan kenapa bapa mereka begitu sedih bila tasbih itu hilang sehinggalah sibapa itu menceritakan semula tentang tasbih itu. Setelah mendengar cerita itu siabang berusaha mencantumkan semula tasbih itu dan ingin menghadiahkan kepada bapanya sempena hari lahir bapanya.  Saya harap anda akan dapat menonton cerita saya dan berilah komen-komen anda untuk saya agar saya dapat membaiki penulisan saya.

DRAMA RTM "UNTUK MAMA"

Hai,
Sudah lama tak update blog ini.  Kesibukan dengan urusan peribadi dan juga dengan bidang penulisan serta mengambil kursus penulisan di Aswara sehingga saya tidak ada masa untuk update blog ini.
Alhamdulillah skrip pertama saya akan ditayang di RTM tidak lama lagi berjudul "UNTUK MAMA" saya harap anda semua dapat menonton drama saya.  UNTUK MAMA berdasarkan kisah benar.  Kisah perjuangan dan pengorbanan seorang ibu apabila anaknya disahkan ada sindrom Dyslexia.  Ketegasan si ibu ingin melihat anaknya berjaya seboleh-bolehnya berusaha membantu dan mendidik anaknya itu sehingga sikap siibu yang terlalu memberi perhatian pada anaknya menimbul rasa cemburu dan tidak puas hati sibapa sehinggalah bapanya itu jatuh cinta semula dengan kekasih lamanya, (bahagian ini hanya ditokok tambah utk menyedapkan cerita atas permintaan mereka).  Cerita ini bermula dari sianak berusia 9tahun hingga dewasa, banyak pengajaran yang boleh kita lihat dan pelajari.  Saya harap anda akan berpuas hati menontonnya.

Friday, August 19, 2011

RAMADAN INI


Entah kenapa Ramadan kali ini tidak dapat kudampingi begitu khusyuk sekali. Ingin aku menyesali pada apa yang telah aku lakukan. Namun aku tidak mampu melepaskan beban yang digalas dibahuku ini. Antara terpaksa dan dipaksa aku terpaksa meninggalkan kasih sayangku
pada Ramadan yang bakal berlalu pergi. Ingin aku menahannya namun aku tidak berhasil. Ramadan tetap pergi jua walau berjanji akan kembali lagi namun apakah pasti aku masih ada menunggunya?

Tuesday, July 12, 2011

When They Are Small Slideshow

When They Are Small Slideshow: "TripAdvisor™ TripWow ★ When They Are Small Slideshow ★ to . Stunning free travel slideshows on TripAdvisor"

Saturday, June 18, 2011

BELILAH ROTAN UNTUK MENGAJAR ANAK

Saya seringkali mendengar keluhan ibubapa muda sekarang ini terhadap anak-anak mereka yang nakal dan tidak mendengar kata walaupun usia baru setahun jagung. Mereka mengeluh kerana anak mereka terlalu nakal dan tidak mendengar kata malah tidak ada sedikitpun perasaan takut mereka terhadap kedua ibubapa mereka.

Saya bertanya kepada mereka jika anak mereka nakal apakah yang selalu mereka lakukan...mereka akan menjawab marah dengan mulut sahaja. Apakah tindakan anak mereka pula? Degil tidak mahu mendengar kata. Saya bertanya lagi, kalau anak mereka melakukan sesuatu yang menguji kesabaran ibubapa apakah tindakan selanjutnya yang mereka lakukan?
Mereka menjawab pukul. Pukul? Saya bertanya lagi pukul dengan apa? Mereka menjawab dengan hanger...pembaris atau pun tali pinggang. Saya tersenyum. Mereka bertanya saya pula kenapa saya tersenyum.

Saya berkata patutlah anak awak makin nakal. Mereka bertanya lagi kenapa???
Sebab setiap kali anda pukul mereka dengan benda-benda itu hanya menimbulkan kemarahan yang mendalam. Mereka akan ada sikap dendam dan memberontak. Dan untuk pengetahuan semuanya benda-benda yang anda gunakan untuk pukul anak adalah dari benda yang dicampur adunan dari bahan2 lain. Kerana itu anak anda tidak mempunyai perasaan sakit kerana takut kepada anda malah menimbulkan sikap memberontak dan kemarahan mereka.

Saya juga mempunyai anak. Dulu saya juga memukul anak saya dengan benda-benda tersebut dan apa yang saya dapati anak saya melawan dan memberontak serta menunjukkan sikap kemarahan dan kedegilan yang menguji kesabaran saya. Pada satu hari saya mendengar di radio bagaimana seorang bapa mendidik anak-anaknya menjadi orang yang berpengaruh dan berjaya dalam hidup mereka. Kata bapa ini dia hanya mengunakan rotan untuk mendidik anak-anaknya. Kata beliau rotan ini dari pokok dan ianya dari sumber alam semula jadi dan bentuk rotan adalah lurus dan ke atas....sakit kena rotan adalah berbeza sakit kena pukul dengan hanger. Saya mencuba apa yang beliau katakan.

Saya membeli rotan di kedai. Setiap kali anak saya memberontak dan terlalu nakal saya memukul kakinya dengan rotan. Dia menangis dan semenjak itu anak saya akan takut bila saya menunjukkan rotan. Dia mula menjadi baik dan takut memberontak dan marah-marah lagi. Kini anak saya sudah pun remaja. Dunia Remaja sekarang yang saya takuti akan mengubahkan hidup anak saya....tidak pernah mendekatinya. Anak saya tidak ponteng sekolah dan tidak pernah pergi melepak ke mana-mana shopping kompleks pun. Tidak merokok dan mendekati dadah. Alhamdulillah kini anak saya berjaya walau tidak sehebat mana....dia kini seorang chef di sebuah hotel yang ternama juga. Ini semua berkat nasihat dan kata-kata seorang bapa itu.

Untuk pengetahuan anda....tidak salah menyimpan rotan dan menggunakan ke atas mereka setakat untuk mengajar mereka menjadi lebih baik dan orang yang berjaya dalam hidup mereka. Percayalah satu hari nanti anak anda akan berterimakasih pada anda kerana mendidik mereka menjadi lebih baik dari mereka sangkakan.

KEMBALI MENJADI SURI RUMAH SEPENUH MASA

Tanggal 11 hb Jun 2011 aku telah meletakkan jawatan ku sebagai Sales Marketing Executive di sebuah Spa milik sahabat ku. Namun pengurusan spa yg dijalankan oleh sahabatku itu tidak teratur dan dia tidak layak menjadi seorang majikan. Dia mengunakkan sistem diktaktornya yang tidak boleh diterima oleh mana-mana pekerja pun. Oleh kerana tidak keserasian itu aku terpaksa melepaskan jawatanku dan menjadi surirumah sepenuh masa.

Terlalu kekok utk berada dirumah sepanjang masa. Bosan mengelilingi hidupku. Untuk menulis....kepala ku pula asyik sakit saja. Untuk seketika waktu ini aku terpaksa memujuk diriku untuk berdamai dengan fikiran agar aku dapat kembali menulis.

Aku sendiri tidak tahu bagaimana rasanya surirumah yang lain hanya duduk dirumah tanpa membuat apa2. Sedangkan aku baru seminggu dah rasa nak cari kerja....namun aku terpaksa menangguhkannya kerana sedang merancang untuk membuat bisnes kecil2an pula.

Tuhan kabulkanlah permintaan hamba Mu ini....permudahkanlah urusanku dalam mencari rezeki yang halal lagi berkat. Amin.

Thursday, March 10, 2011

Dosa Apakah Aku Tuhan????

Dosa apakah
yang aku lakukan
sehingga beratnya bebanan ini
bagaikan memikul gunung berapi
panas dan membakar
larvanya bagaikan menyalut tubuhku
sehingga untuk bernafas juga aku tidak mampu.

Dosa apakah
yang aku lakukan
sehingga beratnya merantai setiap langkah
hendak bergerak pun tidak mampu
hendak merangkak bagaikan tersembab
di celah lantai kehidupan

Dosa apakah
yang aku lakukan Tuhan???
sehingga senyuman menjadi pahit
pandangan menjadi tangis
bercakap bagaikan merintih
hendak mengadu jua tiada tempatnya

Tuhan!
Seringkali aku bertanya
dosa apakah yang aku lakukan???
dosa apakah yang aku ciptakan???
dosa apakah yang aku warnakan dalam kehidupanku???
sehingga begini azabnya hidupku
untuk diteruskan
sehingga begini hebatnya dugaan MU
bagaikan mengugah setiap pintu kesabaran
bagaikan mengugat setiap pintu keimanan
bagaikan merobek setiap pintu ketakwaan!

Atau apakah ini kasih Mu?
Apakah ini kehendak Mu?
Pada setiap hamba Mu
Menguji setiap kesabaran,
kesetiaan dan kecintaan hamba Mu
seperti Zakaria
seperti para anbia
seperti para syuhada
jika itu ......
Aku sujud kepada Mu
Jika itu Innalillahi wa inalillahi rojiun!

anina sahal,
taman kantan permai, kajang.

Monday, November 15, 2010

SAJAK

BICARA

Pada sebuah bicara
kita terluka
tanpa bicara
kita membisu
Jadi bagaimanakah
seharusnya kita berada?

Anina Sahal
Lembah Keramat.

Sajak ini telah disiarkan pada Julai 1988