Saturday, February 23, 2008

Orang Kaya terus kaya Orang miskin terus miskin

Ungkapan ini bagaikan terpahat dalam minda saya sampai bila-bila. Ianya benar-benar mengubah persepsi pandangan saya terhadap ungkapan ini untuk menjadi yang lebih baik.
Dulu saya juga pernah merasa bahang kemiskinan....saya asal orang senang tetapi setelah berkahwin dengan suami saya tak punya apa-apa. Kedua orang tua saya mengajar saya untuk terus berdikari. Saya keluar dari rumah ibubapa saya dengan membawa perabut bilik tidur saja. Saya sewa bersama beberapa orang adik beradik suami. Biasalah kalau dah ramai banyak cerita buruk dari baiknya. Maka untuk mengelakkan perbalahan berterusan saya dan suami berpindah ke rumah lain. Kami menyewa jauh ke pendalaman kerana sewanya murah dan ianya dekat dengan rumah yang kami beli tetapi belum siap lagi tika itu. Pada hari pertama suami membawa saya pulang kerumah sewa tersebut hati saya menangis kerana belum pernah saya merasa sesusah ini. Sudahlah ke dalam kawasan kampung, jauh dari segala kemudahan yang pernah saya rasai dan jauh pula dari rumah kedua ibubapa saya pulak. Sepanjang perjalanan saya menangis sambil memeluk anak kecil saya. Suami memujuk saya katanya ini untuk sementara kerana nanti bila rumah dah siap kami akan berpindah segera...kerana rumah yang kami beli hampir dengan pusat pembangunan. Saya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung...alangkah sedihnya hidup ini . Saya memandang anak saya yang sedang lena tidur itu...saya bertanya pada diri sendiri saya bagaimanakah nasib dan masa depan anak saya sedniri...jika semuda ini dia sudah merasakan kesusahan.Hidup saya benar-benar susah ketika itu, duit dalam tangan pun tidak ada. Suami pergi kerja ke K.L. dengan hanya menaiki motor buruk yang selalu saja meragam. Untuk membaiki motor saja sudah makan duit dapur. Akhirnya saya terpaksa bekerja...kerja yang tak pernah terlintas difikiran saya tika saya remaja atau dibangku sekolah...kerja kilang. Saya bangun seawal pukul 5.00 pagi dan menghantar anak saya tika itu usianya baru 2 tahun ke Taska pada pukul 6.00 pagi. Anak saya tidak banyak kisah dia akan ikut apa yang saya katakan. Hantar keTaska dia tidak menangis pun...Alhamdulillah baik sungguh anak saya....tapi bila suami saya hantar dia akan menangis pulak. Pukul 3.00 petang saya akan menjemputnya di taska dan sepanjang hari dia akan tidur. Satu hari anak saya jatuh sakit....mulutnya penuh dengan keputihan, demamnya terlalu kuat saya terpaksa ambil cuti...doktor kata anak saya kurang minum air dan dia diberi ubat tidur. Patutlah bila tiap kali saya menjemputnya dia akan tidur sampai esok pagi. Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, saya tidak sanggup melihat anak saya dalam penderitaan.
Dia adalah harta dunia dan akhirat saya. Permata yang perlu saya jaga. Dan ini bermakna saya akan terus di tahap kemiskinan dan kesusahan. Saya pernah juga merasakan bagaimana perit dan malunya bila pulang saja dari rumah ibubapa saya pintu rumah sewa dikunci oleh pemilik rumah tesebut. Pemilik rumah itu pula bukanlah suami tidak kenal malah kawan suami sendiri. Ughh! Kejamnya mereka...kami cuma tertangguh tiga bulan saja. Itu pengalaman yang saya tak boleh lupakan sehingga kini. Akhirnya rumah kami siap...kami terus pindah kerumah baru kos rendah tika itu. Tak ada barang perabut masa tu....tak ada karpet...tak ada kerusi...tak ada meja makan, yang ada sebuah peti sejuk yang saya beli second hand, televisyen 14 inci dapur masak dua penunu dan perabut bilik saja. Saya tetap berasa bersyukur pada Tuhan kerana mengurniakan saya kehidupan yang indah ini ada suami dan seorang anak. Apabila anak saya sudah besar saya cuba mencari kerja...saya bekerja di hotel sebagai house keeping part time. Anak saya tinggalkan di taska berdekatan rumah. Tika itu dia sudah sekolah darjah satu. Anak saya jenis tidak menyusahkan orang. Dia tidak akan makan di rumah orang dia akan menunggu saya pulang dan makan bersama. Dia akan buat halnya sendiri. Saya mencari kerja tetap di hotel juga...sebagai linen attendan...saya mencari pengalaman-pengalaman baru. Saya bertukar ke tempat kerja yang lebih menarik gaji juga di hotel sebagai house keeping di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur bertaraf 5++bintang. Disini saya bekerja bersungguh-sungguh demi anak saya. Setelah beberapa tahun saya bekerja dihotel saya melihat ada yang tidak enak dimata dan dihati saya terhadap sesetengah pengunjung. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti dan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran anak saya yang asyik tercicir kerana ketika saya dan suami bekerja di Kuala Lumpur saya terpaksa menghantarnya kerumah ibubapa saya di K.L. Bayangkanlah perjalanan dari Kajang ke Kuala Lumpur bermula pukul 6.00 pagi kerana ketika itu jalan highway ke Ampang belum siap. Ini bermakna kami terpaksa bangun dari pukul 5.00 pagi. Anak saya kesejukan sepanjang perjalanan ke K.L. dan akan kesejukan sepanjang perjalanan pulang yang kadang kala hari hujan dengan lebat disertai dengan petir, ketika itu kenderaan kami hanyalah motor buruk ......bersambung esok.

Tuesday, February 19, 2008

APABILA ORANG MELAYU BERNIAGA

Saya ingin meluahkan apa yang terlintas dihati saya tentang apabila orang melayu berniaga.
Saya sering menyuarakan isihati yang terpendam dan tersirat dihati saya mengenai perniagaan orang melayu dan apabila orang melayu berniaga pada teman yang sealiran. Apa yang ingin saya suarakan ini adalah melibatkan dalaman hati sesiapa juga yang bergelar orang melayu. Suatu ketika dulu saya dibangku sekolah dan diusia remaja tidak mengerti tentang apa yang dilalui oleh orang melayu yang berniaga walaupun sekali-sekala saya mendengar keluh kesah mereka , pada pendapat saya tika itu orang yang berniaga ini tentunya kaya raya. Lihatlah arwah bapa saya sendiri, walau belajar setakat darjah tiga, bekerja hempas pulas...pernah menjadi pemandu kepada seorang doktor, pernah membawa teksi namun bapa saya mempunyai keazaman untuk menjadi seorang usahawan. Berkat dari kegigihannya bapa saya memliki sebuah syarikat pengangkutan dengan dua bas dan sebuah teksi. Dua buah bas itu tugasnya mengangkut pekerja kilang. Hasil ketekunan bapa saya kami sekeluarga hidup senang, makan mewah, dan rumah besar...walaupun bapa saya pernah berkeluh kesah namun saya tidak pernah pedulikannya, kerana zaman saya tika itu zaman kanak-kanak yang hanya tahu belajar dan bermain. Tapi kini saya teringat arwah bapa saya terutama sekali diwaktu makan. Arwah bapa akan termenung seketika dan menarik nafasnya sedalam-dalam dan akhirnya melepaskannya dengan berat, seolah-olah yang didalamnya masih berat. Kini saya juga terikut-ikut cara bapa saya. Cuma saya kesal arwah bapa saya tidak mengajar saya bagaimana hendak bergerak dalam dunia orang perniagaan, yang bapa saya ajar adalah bersikap jujur dan selalu sembahyang sunat dhuha dan tahajjud. Hanya kepada Allah sahaja bapa saya bermunajat. Kini saya kian mengerti tentang dunia perniagaan ini. Nampak memang mudah bagi mereka yang tidak pernah menceburinya tetapi jika sudah mencuba terasa amat berat sekali. Terutama kepada orang melayu sendiri.
Orang Melayu berniaga terlalu sukar untuk menerima sokongan dari orang melayu sendiri. Apa yang ada di hati mereka adalah PHD(Perasaan hasad dengki) Saya tidak menafikan semuanya ini. Contohnya pada perniagaan saya sendiri. Saya berniaga dikalangan majoritinya adalah kaum bumiputra 100% tetapi apa yang menyedihkannya adalah 60% sahaja yang datang dan selebihnya mempromosi perniagaan bangsa Cina dan India yang terletaknya 1 km jauhnya dari kedai saya. Saya bukan hendak memburukkan bangsa Cina dan bangsa lain tetapi inilah kenyataannya. Apabila orang melayu membuat promosi percuma mereka cukup tersenyum lebar,kerana wang dari orang melayu akan mengalir kedalam poket mereka.
Yang tersepit adalah orang melayu sendiri. Tidak ada barang dari kedai Cina semuanya murah ada harga-harga yang tersembunyi yang orang melayu tidak tahu.
Seorang pelanggan saya juga seorang usahawan menceritakan pengalamannya berniaga dengan orang melayu amatlah menyedihkan kerana orang melayu tidak akan menolong orang melayu sendiri. Katanya lagi satu taukeh cina pernah memberitahunya bahawa orang melayu ini bodoh kerana suka bergaduh sesama sendiri...cuba tengok cina berniaga saling tolong menolong, india saling tolong menolong ,acheh juga tolong menolong dan juga bangsa asing yang lain tapi kalau orang melayu berniaga mereka akan bomohkan mereka...jatuhkan mereka....taburkan fitnah keatas mereka dan akhirnya peniaga melayu akan tutup kedai...siapa yang bertepuk bangsa asing juga.
Saya kesal dan kecewa kerana sikap orang melayu kita yang terlalu berkira dengan sesama bangsa. Bagaimana orang melayu ingin naik dan maju kalau bangsanya sendiri tidak mahu membantu. Sebenarnya dunia perniagaan ini bukanlah mudah. Adakalanya waktu rehat kami juga terbatas. Melihat orang lain bercuti dan melancong timbul rasa irihati. Melihat mereka duduk senang lenang dirumah juga rasa cemburu. Kerana orang seperti kami yang berniaga ini jarang mendapat cuti. Kalau cuti tidak adalah duitnya. Bagi kami tiada rehat yang panjang.
Saya tidak nafikan ramai yang lain sudah berjaya tapi tanyalah dulu pengalaman mereka yang menyedihkan. Orang Melayu berniaga yang berjaya adalah kerana jati diri mereka yang kuat dan kental. Ingin memecahkan tradisi kemiskinan dan trade mark yang mengatakan orang melayu tidak akan berjaya. Ingin membukakan mata masyarakat yang sering memandang hina dan ingin merebut peluang diatas bumi sendiri. Berilah sokongan yang padu kepada kami orang Melayu yang ingin berniaga secara jujur dan ikhlas. Berikan orang Melayu yang berniaga ruang untuk berjaya, kerana duit yang dihulurkan kami juga membuat sedekah amal jariah kepada mereka yang memerlukan. Ini bermakna sambil kami berniaga kami juga bersedekah dari duit yang kami terima, kerana setiap bahagian yang kami terima ada yang berhak menerimanya.

Monday, February 11, 2008

Dimanakah Malunya seorang Gadis Melayu

Saya terbaca Harian Metro tentang budak Sekolah Perempuan bergaduh dan bertumbuk tanpa rasa segan dan silu di Sekolah yang terletak di negeri Terengganu. Saya menonton YOUTUBE untuk menyaksikan adengan itu. Ugh! Sungguh memalukan dan menyedihkan kerana sekecil itu mereka sudah menunjukkan sikap kebiadapan mereka. Mana perginya sikap malu dan sopan mereka? Mana perginya sopan santun gadis Melayu?
Berkali-kali saya menonton pergaduhan itu untuk melihat aksi bodoh mereka tapi apa yang saya temu hanya kerana sikap mereka yang ingin menunjukkan kekuatan didepan teman-teman yang menjadi penyumbang zat kekuatan mereka tatkala itu. Hilang sikap kegadisan mereka, hilang sikap malu mereka, hilang sikap hormat orang terhadap mereka ,maka tercalitlah arang dimuka ibubapa mereka, maka tersebarlah nama ibubapa mereka yang dikatakan tidak pandai mendidik anak, maka malulah siibu bapa ini untuk menyorong muka menyusuri jalan untuk mencari rezeki kerana mendengar bisikan-bisikan yang menyakitkan telinga kerana perbuatan bodoh sianak ini tadi. Maka terkeluarlah dari mulut sibubapa ini "kalaulah aku tahu ginilah jadinya bila dah besar ...kecil-kecil lagi dah ku pijak kasi mati" luah sibu bapa penuh penyesalan tetapi sianak ini buat bodoh malah lagi banyak perbuatan keji yang akan dilakukan kerana sekecil ini sudah pandai menunjukkan taring apalagi bila dah besar. Salah siapakah semuanya ini yang mengubahkan cara kelakuan hidup anak kita? Jangan salahkan sesiapa tetapi salahkan diri sendiri kerana tidak tahu bezakan yang buruk dan baik....salahkah diri sendiri kerana mudah diasak pujian yang melambung mengatakan "Lu hebat....gua respect" salahkan pada diri sendiri kerana lupa pada diri sendiri yang anda itu seorang gadis yang penuh kelembutan...dan salahkan pada diri sendiri kerana kurang pegangan agama. Pada gadis-gadis remaja...jagalah maruah, harga diri dan kesopanan kerana itulah harta yang paling berharga yang akan dibawa dalam peti emas hingga bila-bila dan kemana-mana. Berikan ibubapa senyuman yag mengembirakan hati mereka agar mereka dapat menjalani hidup ini dengan tenang. Kasihanilah mereka yang bersusah payah membesarkan kita sehingga kita membesar dengan sempurna tanpa cacat celanya. Jadilah anak yang penuh keimanan kerana itulah kemanisan hidup yang sebenarnya.

Selamatkah Kita Di Bumi Sendiri

Cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini saya mengajak suami ke Mydin di Bangunan Cahaya Suria di Kuala Lumpur untuk membeli barang keperluan. Lebih kurang lagi 50 km ke Mydin kereta suami melalui jalan menyusuri Ke Mydin yang dipenuhi dengan pelbagai bangsa terutamanya dari Bangladesh, Myanmar , Indonesia dan lain-lain lagi...memang Malaysia ini negara yang majmuk. Terasa pula bagaikan tidak berada di bumi sendiri. Sedang menyusuri jalan tersebut saya dikejutkan adengan kejar-mengejar dan tendang-menendang bagaikan melihat dalam filem. Bangsa Indonesia bergaduh dan bertumbuk dengan bangsa Myanmar, ramai yang menonton dan tatkala itu saya menjadi takut ...takut mereka bergaduh kami kena tempiasnya. Saya mengajak suami saya balik tapi suami kata di Mydin nanti okaylah. Saya meminta suami jadi bodyguard , saya benar-benar takut ...saya rasa dah tak selamat lagi disini. Kalau dulu masa gadis saya boleh jalan seorang diri tanpa rasa takut dan bimbang di tengah bandaraya tapi kini saya menjadi takut dan fobia dengan bangsa asing yang terlalu ramai. Kebanjiran mereka yang terlalu ramai ini sehingga menyesakkan bandaraya menjadikan kita peribumi disini macam tidak wujud lagi.
Kita bagaikan memberi ruang dan tempat untuk mereka sehingga kita sendiri sanggup beralih tempat. Ini menjadikan mereka lebih berkuasa sehingga hendak bertumbuk dan bergasak tidak ada perasaan takut atau bimbang ditangkap. Jelaslah penduduk Malaysia ini terlalu baik hati sehingga penduduk dah naik tocang. Seringkali saya bertanya pada diri sendiri Selamatkah kita dibumi sendiri? Selamatkah anak-anak kita tatkala bermain di taman yang dibanjiri pedatang asing yang tidak tahu tentang keperibadiannya? Dimanakah peranan kerajaan dalam menangani kebanjiran bangsa asing?. Tolonglah jangan biarkan bumi kita dijajah dan dirampas oleh bangsa asing. Pertahankan hak kita...pertahankan tanah peribumi milik kita jadilah rakyat yang sayang dan cintakan negara sendiri.
Kita perlu menjaga keharmonian bumi kita. Ini tanah kita...kita tak punya tanah lain selain di Malaysia. Malaysia sebuah negara yang indah dan aman satu ketika dulu...jangan biarkan ianya rosak oleh tangan-tangan yang lain. Janganlah kita leka dan asyik menjalankan perhimpunan haram untuk membidas kerajaan tapi kita cari jalan dan berganding idea bagaimana hendak menangani bangsa asing yang terlalu ramai , kitalah sepatutnya membantu Malaysia bukan hanya menunding jari mencari kesalahan orang hanya kerana tidak kepuasan pada sesetengah politik. Kesian adik Sharlinie sehingga sekarang tidak ke temu...malah bukan adik Sharlinie sahaja malah adik-adik kita yang dilaporkan hilang bertahun-tahun sehingga sekarang tidak ketemu juga bagaimana nasib mereka kita pun tidak tahu. Kebanjiran warga asing menjadikan kita tidak selamat lagi dibumi kita. Pada Kerajaan saya sebagai rakyat Malaysia merayu janganlah terlalu lembut dengan mereka. Kita ambil contoh dasar kepimpinan negara lain yang tegas dengan undang-undang. Jadikan negara kita aman dan makmur sehingga pelancong rasa selamat melancong di negara biarkan mereka pulang membawa kenangan manis bukan kenangan yang menyakitkan. Sekali lagi saya bertanya pada diri sendiri "Selamatkah kita di bumi sendiri?"

Friday, January 11, 2008

Benarkah Kita Merempat Di Bumi Sendiri?

Saya terpanggil untuk menulis lagi dilaman blog saya sendiri...sebenarnya saya sudah lama meninggalkan laman blog saya kerana no idea!...terlalu sibuk dengan masalah perniagaan dan melayani kepulangan putera saya yang sedang bercuti tika itu. Saat-saat bersamanya adalah paling berharga buat saya kerana dia akan kembali semula ke Miri untuk selama 6 bulan tanpa ada cuti lagi. Pastinya saya merinduinya...itulah naluri dan kasihnya seorang ibu.

Kali ini saya menulis dengan membawa cerita yang pastinya semua orang maklum tentang keadaan perniagaan bumiputra kecilan seperti saya sekarang ini. Semalam saya membaca akhbar Utusan Malaysia tentang seorang penulis yang pinjamannya yang dipohon di ....Kami bukan Ah Long tapi Kami Nak Tolong masih tiada jawapan lagi. Sebenarnya saya juga mempunyai pengalaman nak buat pinjaman....pengalaman yang serik tapi masih ingin mencuba lagi. Kita dengar Kata kerajaan "mereka akan membantu usahawan-usahawan bumiputra dalam memajukan perniagaan...bantuan akan diberi berbentuk pinjaman...semua bank-bank akan diberi peruntukan untuk membantu usahawan" tapi apa yang terjadi adalah menghampakan. Panjatlah bank sana bank sini...ada yang tampal logo mikro tapi bila tanya untuk yang tertentu saja...ada yang mengatakan kami tak buat pinjaman untuk usahawanlah dan bermacam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Sikap mereka boleh membunuh semangat untuk berniaga. Dan tumbuhlah pula akauntan2 palsu yang kononnya boleh menolong dalam membuat paper work hulur sajalah duit nanti lulus dalam 2 minggu...kononnya ...akhirnya usahawan juga kena tipu...mujur saya tak tertipu. Bukannya sikit duit yang mereka minta....dan banyaklah pula saya dengar kalau nak lulus loan 2 minggu bagi sekian..sekian duitnya nanti lulus bagi lagi 10%....mak oii kalau 50,000 bagi lagi 5,000 ini bukan nak tolong ini namanya nak tanam kita hidup2 yang buat kerja itu adalah orang dalam bank itu sendiri...ataupun kata beri mereka duit 'undertable' barulah loan lulus. Saya angkat tangan! Biar saya tak dapat loan ...untuk 'undertable' saya tak mau...nanti risikonya pada perniagaan saya hanya Tuhan saja yang tahu. Saya ingin berniaga dengan duit yang berkat untuk saya beri keluarga saya makan dan untuk mereka juga sebagai pelanggan saya juga kena ambil kira puncanya biarlah dari yang halal. Kini saya sedang menunggu kelulusan loan saya dari BSN pinjaman Mikro rasanya hampir empat bulan tapi jawapan masih tiada lagi. Dulu dalam TV1 bercakaplah pengarah BSN bahawa Pinjaman Mikro ini diberikan pada usahawan...makcik yang berniaga tepi jalan pun boleh buat pinjaman lulus 5 hari tapi sekarang ni mana kebenarannya saya dah ada premis yang disewa dah ada pelangggan dah ada permintaan dan pesaingan tapi habuk pun tarak....memang jelaslah mereka ini hanya tahu duduk dalam bilik hawa dingin dan bercakap dan mengarut seperti budak yang tidak ada pelajaran dan pengalaman. Tapi alangkah terkejutnya saya bila membaca sebuah akhbar yang TESCO mendapat pinjaman yang mencecah ratus juta dari sebuah institusi kewangan bagi membuka dan melembarkan sayapnya di bumi Malaysia. Mereka TESCO tersenyum bangga tapi usahawan bumiputra menangis melihat impian terhempas dalam menyaingi TESCO dan akhirnya kita seperti melukut ditepi gantang dan merempat dibumi sendiri. Inikah yang dikatakan ingin membantu usahawan bumiputra. Bukan saya seorang yang terluka malah beribu lagi diluar sana merasakannya. Inginkah kerajaan melihat usahawannya mengemis dibumi sendiri? Sedangkan bangsa asing mengaut keuntungan utuk dibawa pulang ke negara mereka. Apa yang ada pada kami setelah semuanya dikaut oleh bangsa asing....apa yang hendak kita bekalkan kepada anak kita nanti untuk menjadi usahawan berjaya.... ternyatalah pihak institusi kewangan ini tidak mengkaji lebih mendalam lagi...yang dikaji bagaimana untuk menjadi kaya raya dari ikan-ikan jerung ini untuk masuk poket sendiri. Maaflah saya mengatakan demikian...siapa makan cili dia yang terasa pedasnya. Sebagai rakyat Malaysia yang keluar mengundi saya menuntut hak saya agar saya juga diberi pinjaman untuk perniagaan saya...saya akan terus mencuba....selagi saya masih belum putus asa...tapi demi anak yang sedang meningkat bakal menjadi usahawan saya akan memperjuangkan hak saya...itu janji dan ikrar saya! Saya tidak mahu mensia-siakan undi saya dan hak saya sebagai bumiputra....dan saya tidak mahu menjadi pengemis di bumi sendiri! Tanpa kita siapalah KERAJAAN!

Selamat Tahun baru 1429!

Selamat Tahun Baru 1429.
Saya mengharapkan agar tahun 1429 ini membuka lembaran baru dalam kehidupan saya dan juga pembaca yang dihormati. Di malam yang dingin dalam menjelangnya tahun 1429 saya kembali membuka diari-diari lama untuk dibaca dan dibuat ingatan agar saya tidak tersilap dalam mengatur langkah kehidupan ini. Sesungguhnya hidup yang saya lalui ini penuh dengan lingkaran yang berduri dan seringkali mencucuk kaki saya sehingga luka berdarah dan bernanah. Betapa laluan ini terlalu perit dan kejam...

Saya mengharapkan kejayaan akan berbunga segar pada tahun ini. Saya mengharapkan saya beroleh kemenangan dalam meneruskan perjuangan dalam dunia perniagaan saya ini. Saya mengenggam sekuat-kuatnya hati saya dan melaungkan pada dunia ini yang saya akan berjaya pada tahun ini. . Saya menangis berhari lamanya kerana takut dengan kehidupan ini kerana saya terlalu mentah dalam perniagaan ini. Saya dicaci dan dihina kerana percubaan saya dalam bidang perniagaan. Saya jadikan kata hinaan mereka sebagai tangkal untuk saya berjaya. Saya jadikan doa mereka untuk melihat saya jatuh sebagai vitamin minda saya dan saya berjanji yang saya akan bayar semula airmata yang tertumpah dimuka bumi Tuhan ini dengan senyuman kejayaan.

Saya akan menjadi orang yang berfikiran positif dan bertindak positif seperti kata en. mohd shueqry dalam emailnya terhadap saya. Kata-kata motivasi yang diemailkan kepada saya , saya jadikan fail motivasi untuk saya baca...dan saya juga buat satu untuk anak saya untuk dibawa ke Miri Sarawak. Saya tahu anak saya juga memerlukkannya...saya ingin anak saya menjadi orang yang berguna dan bijak menyelesaikan masalahnya sendiri. Saya akan berfikiran BESAR seperti yang disarankan Donald Trump. Saya ingin berjaya seperti Donald Trump. Memiliki segalanya. Saya jadikan dia Mentor saya. Yang pasti saya ingin berjaya sepertinya.
Saya tidak mahu hidup dalam kesusahan dan kepedihan serta dalam kehinaan. Saya ingin hidup dalam kejayaan agar saya dapat melalui hidup ini dengan tenang dan kesyukuran. Saya ingin menunaikan Haji dan Umrah bersama keluarga, saya ingin melancung ke Rom kota yang penuh sejarah , Paris bandar penuh kecintaan, London bandar yang cantik, India dengan Taj Mahalnya dan banyak tempat yang saya ingin bersama keluarga saya. Kerana itu saya perlu bekerja kuat dan mempunyai matlamat dan azam untuk berjaya...doakan saya untuk berjaya. Saya juga ingin sekali membantu anak-anak yatim ...hati saya terusik mendengar kerinduan mereka terhadap kedua ibubapa mereka....tentang keinginan mereka bersama keluarga...tetapi siapalah saya kerana untuk keluarga saya pun saya masih belum mampu....namun saya telah memulakan sedikit demi sedikit untuk mendekati mereka. Semuga Tuhan mengkabulkan permintaan ini.

Untuk pembaca yang merasa sedih,kecewa dan hampa ingatlah bahawa saya juga telah melalui jalan hidup ini lebih teruk dari apa yang saya ceritakan ini namun saya bersyukur kerana Tuhan sentiasa menunjukkan saya jalan yang lurus dan diredhai. Saya sentiasa berdoa siang dan malam agar saya diberi petunjuk jalan keluar pada masalah ini. Ingatlah Tuhan tidak akan mengubah hidup kita jika kita sendiri tidak mahu mengubahnya. Tanamkan semangat untuk BERJAYA. Dimalam yang hening ini saya menghirup aura-aura positif yang ada dilangit dan dibumi dan saya lepaskan aura-aura negatif yang ada dalam hati, diri dan liang-liang roma saya.
SAYA INGIN BERJAYA! SAYA INGIN BERJAYA! SAYA INGIN BERJAYA! Itulah yang saya laungkan sekuat hati saya agar ianya bergema dan memantul semula kepada saya. KUATKAN SEMANGAT DAN JADILAH ORANG YANG BERFIKIRAN POSITIF DAN BERJAYA.

Monday, November 19, 2007

ISU PENYAPU BUKAN MENGAIBKAN

Isu penerimaan penyapu yang diterima oleh MDHS bukanlah mengaibkan malah ianya satu permulaan kata atau amaran bagi mereka yang malas bekerja. Saya amat menyokong terhadap anugerah tersebut kerana ia melambangkan kita haruslah bekerja kuat untuk membersihkan segala yang kotor. Cuba anda fikir dan renungkan balik...adakah penyapu ini hina atau sial? Jika hina atau sial cuba anda fikirkan semula dan cari dirumah anda ada ke tidak penyapu disetiap rumah? Jika ada dan jika ianya sial kenapa anda menyimpan didalam rumah? Kenapa penyapu ini memainkan peranan yang penting dalam setiap rumah? Kerana penyapu ini adalah ketua pada segala kebersihan, tidak ada penyapu tidaklah bersih rumah. Begitulah agaknya andaian Datuk Mohd. Khir Toyo terhadap anugerah tersebut. Lagipun sebelum anugerah itu diberi, mereka juga telah diberi peringatan mengenai hadiah tersebut ...ini bermakna ...salah bukan pada penyapu itu tetapi kepada pekerja dan jabatan itu juga kerana degil untuk menjalankan tugas. Contoh di kaunter MPKJ mungkin di kaunter-kaunter lain juga serupa...orang punyalah ramai menunggu, nombor punyalah berpuluh-puluh namun kaunter yang dibuka cuma 2 sahaja. Kadang-kadang tu sempat berborak dulu barulah nak buka kaunter. Yang kami ni menunggu macam orang bodoh, sedangkan kami banyak kerja yang nak buat...nak buka kedai...ada yang urusan penting, anak nak pergi sekolah dan macam-macam lagi, tapi mereka ni buat-buat tak faham tentang masalah kita dan sebab itulah ramai yang malas nak berurusan dikaunter maka banyaklah cukai yang tidak dikutip. Oleh itu apabila anugerah penyapu ini diberikan pada mereka maka ketegasan pun juga perlu diutamakan kerana mereka perlu bekerja untuk mendapatkan gaji yang berkat.
Oleh itu orang Malaysia janganlah nak cepat melatah pandang ianya sebagai positif untuk membangunkan ekonomi negara. Saya harap dengan anugerah tersebut mereka akan lebih rajin bekerja. Tujuan saya bukanlah menyokong atau menghinakan sesiapa cuma saya bercakap bagi diri saya sendiri yang mengalami pekara ini setahun yang lalu. Dimana saya terpaksa menunggu dengan lebih lama lagi malah terpaksa datang untuk kali keduanya kerana kaunter tutup pada pukul 1.00 tengahari dan buka semula pukul 2 petang bukankah ini menyusahkan saya ...saya datang nak bayar dan bukan nak pergi shopping....so faham-fahamlah.