Monday, October 21, 2013

SLIP DISC...

Apa itu slip disc?  Slipped disc secara ringkas bermaksud tulang belakang yang “teralih” atau “mengelongsor dari kedudukan asal. Ini disebabkab oleh gel antara tulang yang berfungsi menyerap tekanan telah bocor seterusnya mengakibatkan alihan. Apabila ini terjadi, tulang akan menekan pula saraf-saraf yang mengawal anggota badan seperti kaki, tangan dan leher. Kesakitan melampau menyebabkan anggota badan menjadi kebas pergerakan akan terbatas.  Pertama kali mendengarnya bila adik saya dimasukkan wad kerana slip disc.  Tidak pernah tahu bagaimana menderitanya adik saya ketika itu . Namun setelah anak bujang saya terkena slip disc ini saya mula resah dan hati disaluti kebimbangan yang amat.  Setelah anak saya terkena , anak buah pula terkena juga penyakit ini.

Sejak akhir-akhir ini penyakit itu berada disekeliling saya.  Rata-rata saya mendengar ramai yang terkena.
Melihat penderitaan yang dilalui anak saya ianya membuatkan saya tidak senang tidur.  Kasihan dia, malam-malam mengadu tidak dapat tidur, kaki dan belakangnya terasa sakit dan kebas serta berdenyut.  Dalam mata yang terpejam saya mengurut belakangnya.  Namun urutan malas saya tidak mengurangkan sakitnya.
Akhirnya menjelang subuh barulah dia tertidur...itupun dalam keadaan duduk.  Kasihan sungguh saya melihat keaaannya ketika itu.

Namun dia tetap pergi ke kerjanya.  Kerja sebagai Chef menambahkan kesakitannya.  Ketika menjemput dia pulang, saya tertanya kenapa jalan dia bagaikan raksaksa, terbongkok dan kekang.  Dia menjawab dalam keadaan menahan sakit....sakit mama.  Malam itu juga dia tidak boleh tidur, sakitnya menjadi-jadi.  Pukul 2 pagi saya membawa dia ke hospital Kajang  bahagian kecemasan.  Hampir dua jam menunggu barulah dapat masuk berjumpa dengan doktor.  Setelah pemeriksaan dibuat doktor hanya mengatakan ini hanyalah muscle pain, tidak ada apa2 yang serius.  Anak saya diberikan ubat pain killer.  Namun ubat itu tidak melegakan.

Selang dua hari , sekali lagi kami ke hospital di waktu tengah malam bahagian kecemasan lagi.  Doktor tetap menyatakan hanya muscle pain, dan ubat yang sama juga dibekalkan dan juga MC kepada anak saya.
Anak saya tetap sakit.  Setelah habis mc dia pergi juga ke tempat kerjanya dalam keadaan yang amat sakit.
Sampai di tempat kerjanya dia diarah pulang oleh Chefnya yang tidak sanggup melihat keadaan dia yang terbongkok-bongkok dan sangat payah untuk berjalan.  Pada malam itu juga saya membawa dia ke Hospital Serdang bahagian kecemasan.  Dari pukul 11.40 mlm kami menunggu , pukul 4.30 pagi barulah kami dapat berjumpa dengan doktor, dan jawapan yang sama juga diberi muscle pain.  Mc dan ubat diberi, namun anak saya tetap sakit.

Selang dua hari, saya membawa dia ke Klinik Kesihatan Semenyih.  Doktor membuat X-RAY dan meminta anak saya berjumpa dengan pakar Ortopedik. Saya bertanyakan sebenarnya anak saya sakit apa....doktor itu tidak dapat memberi jawapan pasti, hanya dia menyuruh anak saya berjumpa dengan Pakar itu.
Sekali lagi Mc dan bekalan ubat dibawa pulang.  Saya kira hampir enam belas hari anak saya sudah mengambil mc.  Macam-macam rawatan yang dibuat, berurut, akupuntur namun tidak ada yang kurang pun. Duit pun banyak habis dengan rawatan.

Saya segera membuat temu janji dengan pakar Ortopedik di Hospital Kajang.  Dua minggu lagi tarikh yang diberikan.  Namun keadaan anak saya semakin teruk.  Kami akhirnya ke klinik panel.  Doktor yang merawatnya meminta dia segera ke hospital dan anak saya perlu dimasukkan ke wad.  Suratpun diberikan kepada saya untuk dibawa kepada doktor.  Namun setelah saya membawa surat itu, doktor tetap tidak membuat apa-apa dan entah berapa kali anak saya membuat X-RAY.  Dia pun semakin letih dan  semakin sakit .  Hampir sebulan kami berulang alik ke hospital dan hampir sebulan anak saya tidak dapat rasa tidur yang lena dan hampir sebulan jugalah saya dan suami berjaga malam untuk mengurut belakang badannya serta kakinya.

Akhirnya tiba hari berjumpa dengan pakar.  Setelah x-ray dibuat, mereka dapati anak saya mengalami slip disc, mereka mengarahkan anak saya masuk wad.  Sampai di dalam wad yang old school itu anak saya ditempatkan di wad satu.  Katil yang diberikan bagaikan boleh main jongkang jongket.  Saya bertanya dengan misi yang manis yang anak saya sakit belakang, katil yang diberikan sudah semestinya tidak memberikan keselesaan pada anak saya, lebih-lebih lagi bila tidur, bahagian kepala akan ke bawah dan terjongket bahagian kakinya pula, namun jawapan mereka katil yang elok tidak ada, cuma yang ada ini saja.

Saya melihat wajah anak saya yang benar-benar tidak selesa.  Kasihan dia.  Saya teringatkan insuran yang dibeli itu sudah hampir cukup matangnya.  Lalu saya transferkan anak saya ke hospital KPJ Kajang.  Saya merasa lega bila dapat menempatkan  dia ditempat yang selesa.

Setelah membuat MRI dan X-Ray doktor KPJ mengesahkan anak saya terkena slip disc.  Doktor memberi dua andaian, satu buat fisioterapi dan keduanya jika tak baik juga terpaksa dibedah.  Ohhhh tidak! Saya tidak akan membenarkan anak saya dibedah.  Dia masih muda, masih ada cara lain yang boleh dibuat. Kerana penyakit ini juga anak saya mendapat penyakit darah tingginya.  Hampir 8 hari anak saya tinggal di hospital itu.  Buat terapi dan makan ubat pain killer namun semuanya itu tidak mengurangkan sakitnya.

Akhirnya dia  dibenarkan pulang. Setelah hampir sebulan cuti, dia kembali bekerja, namun sakitnya datang kembali.  Sekali lagi Chef memintanya mengambil cuti tahunan pula.  Tidak sampai hati mereka melihat anak saya menahan sakit ketika bekerja.  Semasa dalam cuti saya membawa dia berurut, berendam dalam kolam air panas namun sakitnya hanya berapa persen saja kurang. Setiap hari saya akan mengurut, menampalkan koyok dan memastikan dia memakan ubat sebelum tidur.  Dia masih muda, jauh lagi perjalanan yang harus dia lalui, saya ingin pastikan dia sihat agar dia boleh bekerja demi masa depannya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini, pada anda adalah jagalah kesihatan kita, bersenam dan maintainkan tubuh badan yang ideal  kerana tiada gunanya kalau kita ada duit tapi kita sakit.  Duit akan habis kerana biayai rawatan.  Hargailah masa sihat sebelum tiba masa sakit.