Thursday, November 21, 2013

BERCERITA TENTANG BERSALIN

Saya terdengar di televisyen TV9 Semanis Kurma yang kali ini membincangkan topik Aurat Ketika Bersalin. Saya tersenyum mendengarnya. Tapi cerita saya bukan mengenai aurat tetapi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh setiap ibu.  Teringat pula 24 tahun yang lalu ketika saya bergelut untuk melahirkan putera tunggal saya,  Ketika itu usia saya baru 23 masih muda dan tidak bekerja pula.  Namun masa yang lapang itu tidak dibiar berlalu begitu saja.  Saya pelajari segala teknik pernafasan, teknik pergerakkan, senaman memudahkan bersalin dan juga aktif membuat kerja.  Bayi dalam kandung tidak banyak ragam. Saya juga mengaji Al-Quran, membaca Surah Yussuf, Surah Maryam dan beberapa surah lagi untuk bayi saya.  Sebelum tidur pula saya akan berzikir sambil mengusap perut.  Sungguh bayi didalam perut tidak meragam.   8 bulan terakhir, anak saya disahkan berada dalam kedudukan songsang, kaki ke bawah.  Mak cuba ajak saya berurut untuk membetulkan kedudukan bayi tetapi saya tdak berani mengambil risiko, saya tidak mahu menyakitkan baby  dan tidak mahu ada apa -apa yang berlaku padanya.  Saya terima dengan redha atas ketentuan Allah.

Tiba masa saya dikejarkan ke hospital.  Saya dihantar oleh mak dan ayah, ditemani adik 2tahun yang mulutnya becok ketika itu.  Suami ketika itu ada urusan lain, dan dia tidak tahu yang pada hari itu saya akan bersalin.   Mujurlah saya tidak mengikutnya kalau tidak bersalinlah saya atas jalan.  Pada waktu siang hari saya hanya memakan semangkuk kecil nasi dan sayur bayam kegemaran baby .  Saya diberitahu bahawa saya akan dibedah, tetapi pada malam itu tepat pukul 12 malam saya didatangi seorang doktor untuk bertanyakan tentang bius epidural,  Saya cakap saya sudah baca mengenainya dan saya setuju untuk menerimanya, dan dalam keadaan terketar-ketar itu saya menandatangani surat persetujuan itu.   Mereka pun memulakan operasi kecil untuk memasukan bius itu, tetapi saya sedikit pun tidak sedar.

Pada keesokan harinya saya demam kerana kesejukkan, baby pula berdenyut perlahan, seorang misi mula membebel keran membiarkan saya begitu lama untuk bersalin.  Saya tahu saya dijaga oleh seorang doktor lelaki berbangsa Cina.  Dia menjaga saya dengan baik sekali.  Saya menunggu masa saya untuk bersalin, tapi saya tahu pada hari itu terlalu ramai baby dilahirkan, sehingga mereka tidak cukup troly dan ada baby yang dah nak keluar dah.  Doktor pula berlari ke sana dan ke sini menyambut baby.  Sebelah katil saya pula menjerit kesakitan kerana dijahit.  Ohhhh saya pula yang ngilu.  Saya menunggu giliran saya tiba, dan tidak tahu apakah yang akan saya lalui.

Setelah saya tanya dengan doktor itu, barulah dia beritahu yang saya boleh lahir secara normal .  Mendengar kata doktor itu saya membuat keputusan untuk melahirkan segera anak saya ini sebelum dia terus lemas dalam kandungan saya, kerana air mentuban sudah lama pecah.  Melihat keadaan saya hendak bersalin , segera doktor datang menghampiri saya dan bilangan doktor  semakin ramai.  Sepanjang proses bersalin, saya tidak terhenti membaca alfatihah, ayat kursi, ayat 3 kul, selawat nabi dan saya gunakan teknik pernafasan dengan betul....mereka turut membantu saya membaca Alfatihah ketika saya hampir kepenatan.......Alhamdulillah tepat pukul 4 petang hari Jumaat lahirlah putera saya yang saya namakan MUHAMMAD SUFI....kehadirannya menyerikan hidup saya dan suami hingga kini.  Terima kasih ALLAH atas kurniaan Mu ini.




No comments: