Monday, June 16, 2008

TIPS DALAM MENDIDIK ANAK TUNGGAL

Baru-baru ini saya terbaca satu masalah didalam sebuah majalah mengenai masalah anak tunggal. Masalah ibu ini adalah dia tidak mengerti bagaimana hendak mendidik anak tunggalnya yang disayangi. Ibu ini terlalu sayang sehingga anak itu ditatang bagaikan minyak yang penuh. Serba-serbi si ibu ini lakukan untuk anakperempuannya baik dari segi makan minum serta pakaian sehinggalah pakaian dalam si ibu inilah uruskan. Malah dari segi pendidikan agama si ibu ini tidak beratkan. Terlalu sayang untuk mengejutkan sianak ini bangun mengerjakan sembahyang subuh...lantas dibiarkan tidur selama mana yang dia mahu. Disini banyak kesilapan demi kesilapan yang dilakukan. Andai terus dibiarkan anak perempuan akan mendatangkan seribu masalah pada dirinya , kedua orang tuanya dan kepada suaminya satu hari kelak.

Saya seorang ibu amat memahami dilema si ibu ini tadi. Saya juga memiliki seorang anak lelaki tunggal yang kini sudah pun berusia 19 tahun dan belajar di MIRI Sarawak selama 1 tahun. Ramai kawan-kawan saya respect dengan keputusan yang saya buat ini...iaitu menghantar anak saya belajar jauh di seberang lautan walaupun hanya dia seorang anak yang saya ada.

Sebenarnya anak saya dari kecil lagi saya tidak pernah memanjakannya. Jika dia salah saya pukul jika dia baik saya berikan pujian. Semua kerja saya ajar dia termasuk membasuh pakaian. menjemur kain, melipat kain memasak dan mengemas. Saya tidak mahu bila dia dewasa kelak dan berkahwin dia hanya menyusahkan pihak satu lagi iaitu isterinya. Dari segi agama saya didik dia mengaji dan sembahyang. Saya tekankan pada agama agar dia tidak dimalukan orang kelak dan siapalah yang akan membaca doa dan yassin untuk saya dan suami satu hari nanti.

Semua yang saya ajar adalah untuk kepentingannya. Sebenarnya itulah kasih sayang seorang ibu. Kenapa saya hantar anak saya jauh belajar di Miri? Sebab saya ingin dia belajar hidup berjauhan dari kami. Andainya satu hari nanti kami telah tiada dia sudah dapat menyesuaikan dirinya untuk menerima kenyataan ini.

Saya juga sering memberi kata-kata motivasi kepadanya jika dia berhadapan dengan masalahnya. Selalunya saya akan membiarkan dia menghadapi semua ini jika dia benar-benar tidak dapat menyelesaikannya barulah saya menolongnya.

Kini saya hampir tersenyum gembira, puas dan sayang kepadanya kerana anak saya mula pandai mengatur kehidupannya untuk menjadi insan yang berjaya. Tiada dalam kamus kehidupannya untuk gagal dalam hidup. Dia sudah mengenali dunia ini dan tahu membezakan yang mana satu buruk dan baik. Saya bersyukur kerana saya berjaya mendidik dia untuk menjadi seorang insan. Kalau dulu masih kecilnya dia seorang anak yang nakal dan hyperaktif sehingga ibu saya sendiri tidak mahu menjaganya...kalau dulu ibu saya bimbangkan pelajarannya kerana dia kelemahannya tapi kini ibu saya mula tersenyum kerana dia bakal melihat cucunya ini ingin menjadi seorang Chef yang profesional satu hari nanti.

Kesimpulannya disini janganlah kerana kita diberi hanya seorang anak kita menatang mereka bagaikan minyak yang penuh...sebenarnya cara kita itu nanti yang akan menyusahkan hidup mereka. Ajarlah mereka berdikari kerana kita tidak rugi dan mereka tidak merana. Ajarkan mereka pendidikan agama agar mereka ada pegangan dan pedoman yang dapat membentengkan diri mereka dari terus hanyut dilanda badai kehidupan ini. Seringkali memberi kata-kata motivasi pada mereka dan jadikan diri kita ibu,kawan, dan juga guru kepada mereka.
Seperti kata anak saya sempena hari ibu dan hari jadi saya yang lalu.....mamalah ibu , guru dan juga kawan ianya satu hubungan yang terlalu akrab. Sufi tak akan lupakanya sampai bila-bila.
Percayalah pendidikan itulah yang lebih penting dari kasih sayang yang melampau itu.

No comments: