Thursday, September 20, 2007

Sekolah Berasingan Perempuan dan Lelaki

Sejak kebelakangan ini bermacam cerita yang kita dengari tentang remaja lelaki dan perempuan. Kalau dulu zaman saya bersekolah rasanya masalah remaja kurang kedengaran.
Kalau adapun hanya segelintir saja. Punca remaja sekarang berkelakuan agak liar adalah kerana ibubapa yang terlalu sporting atau tidak ambil kisah tentang mereka kerana sibuk bekerja. Dan diikuti pula dengan sekolah yang bercampur lelaki dan perempuan. Guru juga tidak dapat menangani masalah murid yang ramai serta bermasalah.

Pada pandangan saya adalah lebih baik mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan seperti contohnya sekolah Menengah Perempuan Air Panas Setapak, Sekolah Menengah Tinggi Lelaki Setapak, Sekolah Menengah Perempuan Ampang, Sekolah Menengah Lelaki Ampang, Sekolah Menengah Perempuan Puteri dan lain-lain lagi. Perbanyakkanlah sekolah-sekolah seperti itu agar tidak ada masalah -masalah yang timbul seperti cinta,seks, dadah dan ponteng sekolah. Saya akui remaja sekarang ini sukar kita bentuk menjadi remaja yang baik. Malah mereka lebih ekstrem dari kita, berani melakukan kesalahan kononnya bila menjadi jahat mereka akan disanjung. Ibubapa juga sering mengeluh kerana sikap mereka yang terdorong oleh ajakan dan pengaruh kawan-kawan mereka,malah lebih menyedihkan lagi remaja perempuan juga hilang kawalan dari ibu bapa mereka sendiri. Kini remaja perempuan tiada segan silu melepak di jalanan sehingga dini hari....tidak bimbangkah ibubapa mereka. Kerana kewujudan parasit seperti inilah maka seks menjadi agenda utama pada mereka dan akhirnya banyaklah kanak-kanak menjadi mangsa percabulan oleh yang tidak berperikemanusiaan.

Saya pernah bertanya kepada beberapa pelajar perempuan adakah mereka suka bersekolah yang hanya pelajarnya terdiri dari pelajar perempuan saja atau sekolah bercampur? Rata-rata mereka menjawab mereka lebih senang dan suka belajar disekolah yang terdiri dari pelajar perempuan saja, kerana mereka rasa lebih senang untuk belajar tanpa diganggu oleh pelajar-pelajar lelaki yang hanya tahu buat bising sahaja.

Saya pernah bertemu guru displin di sekolah tempat anak saya belajar. Guru displin itu menceritakan tentang kesukarannya menangani masalah pelajar sekarang ini yang tiada displin dan sifat malu oleh sebilangan pelajar perempuan yang kini dahagakan seks. Guru displin juga terkejut kerana usia masih muda mereka sudah berani menyuarakan keinginan seks. Kebimbangan terhadap pelajar-pelajar yang bermasalah seperti ponteng sekolah, bergaduh sesama sendiri. melawan cikgu, merosakkan harta benda sekolah terlalu tinggi, tetapi guru-guru sekolah juga tidak dapat mengawal keadaan kerana mereka juga menerima ancaman dari pelajar-pelajar tersebut. Sikap ibubapa yang membela anak-anak juga menyukarkan pihak guru mengambil tindakan displin terhadap mereka. Jadi dari sini siapakah yang mainkan peranan utama dalam membentuk akidah remaja sekarang?
Dan saya amat menyokong jika pihak kerajaan ingin menjadikan program seperti khidmat negara dihujung cuti sekolah bagi mereka bermula dari sekolah rendah contoh seperti yang dilakukan oleh setengah negara barat seperti summer camp. Kita lakukan semuanya ini adalah kerana mereka ini pelapis negara yang bakal memerintah negara agar kita juga mempunyai menteri-menteri yang disegani dunia.Kita tidak mahu remaja kita tidak ada arah tuju sehingga menjadi bebanan serta sampah masyarakat. Kalau boleh kita ingin melihat mereka berjaya dibidang apa saja dan tidak ada lagi yang mati kerana dadah , cinta dan seks serta judi . Jadikanlah mereka remaja yang berwawasan agar nasib negara sentiasa terbela dan disanjung tinggi.

No comments: