Saturday, February 23, 2008

Orang Kaya terus kaya Orang miskin terus miskin

Ungkapan ini bagaikan terpahat dalam minda saya sampai bila-bila. Ianya benar-benar mengubah persepsi pandangan saya terhadap ungkapan ini untuk menjadi yang lebih baik.
Dulu saya juga pernah merasa bahang kemiskinan....saya asal orang senang tetapi setelah berkahwin dengan suami saya tak punya apa-apa. Kedua orang tua saya mengajar saya untuk terus berdikari. Saya keluar dari rumah ibubapa saya dengan membawa perabut bilik tidur saja. Saya sewa bersama beberapa orang adik beradik suami. Biasalah kalau dah ramai banyak cerita buruk dari baiknya. Maka untuk mengelakkan perbalahan berterusan saya dan suami berpindah ke rumah lain. Kami menyewa jauh ke pendalaman kerana sewanya murah dan ianya dekat dengan rumah yang kami beli tetapi belum siap lagi tika itu. Pada hari pertama suami membawa saya pulang kerumah sewa tersebut hati saya menangis kerana belum pernah saya merasa sesusah ini. Sudahlah ke dalam kawasan kampung, jauh dari segala kemudahan yang pernah saya rasai dan jauh pula dari rumah kedua ibubapa saya pulak. Sepanjang perjalanan saya menangis sambil memeluk anak kecil saya. Suami memujuk saya katanya ini untuk sementara kerana nanti bila rumah dah siap kami akan berpindah segera...kerana rumah yang kami beli hampir dengan pusat pembangunan. Saya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung...alangkah sedihnya hidup ini . Saya memandang anak saya yang sedang lena tidur itu...saya bertanya pada diri sendiri saya bagaimanakah nasib dan masa depan anak saya sedniri...jika semuda ini dia sudah merasakan kesusahan.Hidup saya benar-benar susah ketika itu, duit dalam tangan pun tidak ada. Suami pergi kerja ke K.L. dengan hanya menaiki motor buruk yang selalu saja meragam. Untuk membaiki motor saja sudah makan duit dapur. Akhirnya saya terpaksa bekerja...kerja yang tak pernah terlintas difikiran saya tika saya remaja atau dibangku sekolah...kerja kilang. Saya bangun seawal pukul 5.00 pagi dan menghantar anak saya tika itu usianya baru 2 tahun ke Taska pada pukul 6.00 pagi. Anak saya tidak banyak kisah dia akan ikut apa yang saya katakan. Hantar keTaska dia tidak menangis pun...Alhamdulillah baik sungguh anak saya....tapi bila suami saya hantar dia akan menangis pulak. Pukul 3.00 petang saya akan menjemputnya di taska dan sepanjang hari dia akan tidur. Satu hari anak saya jatuh sakit....mulutnya penuh dengan keputihan, demamnya terlalu kuat saya terpaksa ambil cuti...doktor kata anak saya kurang minum air dan dia diberi ubat tidur. Patutlah bila tiap kali saya menjemputnya dia akan tidur sampai esok pagi. Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, saya tidak sanggup melihat anak saya dalam penderitaan.
Dia adalah harta dunia dan akhirat saya. Permata yang perlu saya jaga. Dan ini bermakna saya akan terus di tahap kemiskinan dan kesusahan. Saya pernah juga merasakan bagaimana perit dan malunya bila pulang saja dari rumah ibubapa saya pintu rumah sewa dikunci oleh pemilik rumah tesebut. Pemilik rumah itu pula bukanlah suami tidak kenal malah kawan suami sendiri. Ughh! Kejamnya mereka...kami cuma tertangguh tiga bulan saja. Itu pengalaman yang saya tak boleh lupakan sehingga kini. Akhirnya rumah kami siap...kami terus pindah kerumah baru kos rendah tika itu. Tak ada barang perabut masa tu....tak ada karpet...tak ada kerusi...tak ada meja makan, yang ada sebuah peti sejuk yang saya beli second hand, televisyen 14 inci dapur masak dua penunu dan perabut bilik saja. Saya tetap berasa bersyukur pada Tuhan kerana mengurniakan saya kehidupan yang indah ini ada suami dan seorang anak. Apabila anak saya sudah besar saya cuba mencari kerja...saya bekerja di hotel sebagai house keeping part time. Anak saya tinggalkan di taska berdekatan rumah. Tika itu dia sudah sekolah darjah satu. Anak saya jenis tidak menyusahkan orang. Dia tidak akan makan di rumah orang dia akan menunggu saya pulang dan makan bersama. Dia akan buat halnya sendiri. Saya mencari kerja tetap di hotel juga...sebagai linen attendan...saya mencari pengalaman-pengalaman baru. Saya bertukar ke tempat kerja yang lebih menarik gaji juga di hotel sebagai house keeping di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur bertaraf 5++bintang. Disini saya bekerja bersungguh-sungguh demi anak saya. Setelah beberapa tahun saya bekerja dihotel saya melihat ada yang tidak enak dimata dan dihati saya terhadap sesetengah pengunjung. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti dan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran anak saya yang asyik tercicir kerana ketika saya dan suami bekerja di Kuala Lumpur saya terpaksa menghantarnya kerumah ibubapa saya di K.L. Bayangkanlah perjalanan dari Kajang ke Kuala Lumpur bermula pukul 6.00 pagi kerana ketika itu jalan highway ke Ampang belum siap. Ini bermakna kami terpaksa bangun dari pukul 5.00 pagi. Anak saya kesejukan sepanjang perjalanan ke K.L. dan akan kesejukan sepanjang perjalanan pulang yang kadang kala hari hujan dengan lebat disertai dengan petir, ketika itu kenderaan kami hanyalah motor buruk ......bersambung esok.

No comments: